PETALING JAYA: Perselisihan antara Shaarnaz Ahmad dan aktivis terkenal, Caprice ternoktah apabila pelakon tersebut secara terbuka membuat permohonan maaf menerusi Instagram (IG), baru-baru ini.
Shaarnaz, 36, yang membuat permohonan itu menerusi sebuah rakaman video mengakui gurauannya terhadap Caprice sebelum ini agak keterlaluan.
Oleh itu, dia berhasrat agar isu tersebut dapat diselesaikan secara baik antara kedua-dua pihak.
“InsyaAllah, saya dengan Caprice akan selesaikan benda ini secara elok di belakang.
“Apa gurauan saya daripada awal kepada dia di Jordan sampailah sekarang ini mungkin agak keterlaluan dan saya sebagai orang yang lebih matang ingin mohon maaf kepada dia.
“Selebihnya terpulang kepada dia. Biar urusan ini kami selesaikan bersama,” katanya.
Terdahulu, Shaarnaz mengundang kemarahan Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli setelah mempersendakan penyanyi rap itu menerusi sesi live di IGnya bersama seorang pelakon sebelum ini.
Dalam pada itu, Caprice yang memuat naik semula rakaman tersebut di IGnya, menerima permohonan maaf pelakon Bukan Kerana Aku Tak Cinta Itu dan berharap dapat bertemu Shaarnaz untuk menyelesaikan perkara berkenaan.
“Selamat datang ke Damansara @sharnaazahmad. Pihak kita terima permohon maaf tersebut.
“Saya pun kalau terlebih-lebih tadi, memohon maaf sebab saya pun tak makan tengahari lagi, lapar.
“InsyaAllah selepas kuarantin saya akan sampai @cilikampunghartamas dan minum sama-sama,” balasnya.