SABAN hari kita diperdengarkan dengan alunan lagu-lagu malar segar yang menyentuh jiwa dan rasa dari corong radio tempatan. Irama yang diperdengarkan bukan sekadar santapan halwa telinga, malah ada ketikanya menjentik kenangan lalu.
Ibarat memoir yang meninggalkan kesan kepada pendengar, namun tidak semua penyanyinya bernasib baik. Ada yang terus diingati, malah ada juga yang tidak dikenali walaupun lagu-lagu dendangan mereka popular dan sering diputarkan.
Mungkin sosok bernama Haslinda Arifah, 43, salah seorang daripadanya. Lagu dendangannya Sehati dan Sejiwa yang pernah menjadi runut bunyi sebuah drama bersiri popular, Mr. Cinderella ini cukup terkenal pada penghujung era 90-an dahulu. Namun tidak ramai peminat mengenali dirinya.
Bersama Khabar Legenda, anak kelahiran Pelabuhan Klang ini berkongsi cerita pahit dan manisnya ketika menelusuri perjalanan sebagai anak seni.
“Penyanyi lama seperti saya ini memang tak sama dengan penyanyi sekarang. Hari ini kalau nak jadi artis ada banyak platform yang membantu terutamanya media sosial. Waktu saya dahulu kena bermula dari bawah. Saya sendiri join band kampung buat persembahan di rumah orang kahwin.
“Ketika itu usia baru 14 tahun, tapi sebabkan minat menyanyi saya belajar banyak genre muzik termasuk pop, balada, asli dan dangdut. Menyanyi di rumah orang kahwin kena versatil. Sebab kena hiburkan tetamu dari segenap umur dan lapisan,” katanya membuka perbualan.
Tidak pernah mendapat pendedahan dalam bidang nyanyian terutamanya dari segi persembahan dan vokal, namun dia tidak pernah putus asa atau patah semangat.
Prinsipnya di mana ada kemahuan pastinya di situ ada jalan. Ilmu tersebut digali daripada individu yang rapat dengannya, terutama bapa saudara yang aktif mengadakan persembahan bersama kumpulan muzik ketika itu.
Usia juga bukanlah penghalang. Setiap pengalaman ditimba akan dijadikan bekalan buatnya mengorak langkah ke hadapan.
Setelah mendapat keyakinan, baharulah dia memberanikan diri menyertai beberapa pertandingan nyanyian. Fikirnya hanya jalan tersebut dia mampu mengasah bakat terpendam untuk mencipta nama ke peringkat lebih tinggi.
“Nak belajar vokal memang tak mampu. Saya hanya belajar dari radio sahaja. Setiap lirik, melodi dan lenggok saya hafal sebaik mungkin. Hasilnya, saya berjaya mendapat tempat kedua dalam sebuah pertandingan nyanyian di Majlis Perbandaran Klang (MPK).
“Suatu hari saya dihubungi oleh individu dari syarikat rakaman Audio One. Dia menawarkan saya menjadi artis rakaman. Pada mulanya rasa tak percaya juga, maklumlah waktu itu baru berusia 17 tahun,” katanya.
Tawaran tersebut diterima dengan hati terbuka. Atas usaha dan kesungguhan yang ditunjukkan, album pertama berjudul Sebening Cintamu akhirnya berjaya diterbitkan pada 1995. Lagu Sehati dan Sejiwa yang dijadikan runut bunyi sebuah drama bersiri popular sekaligus melonjakkan namanya.
Memahat nama di usia muda adalah motivasi buat dirinya. Jika dahulu peminatnya terdiri dalam kalangan tetamu di majlis perkahwinan, namun kini sudah berbeza. Dia menerima penghargaan yang tidak dijangka, malah tidak pernah terfikir berada di tahap tersebut.
“Ada kisah menarik di sebalik rakaman lagu Sehati dan Sejiwa ini. Lagu tersebut dicipta oleh komposer LY dalam waktu amat singkat sebelum saya masuk ke studio rakaman. Sebaik siap dia terus beri dan suruh saya hafal. Katanya, lagu tersebut tidak perlu bawa balik ke rumah, kerana dia nak rakam waktu itu juga.
“Tidak sampai setengah jam saya hafal, dia panggil masuk studio untuk rakam. Saya terpinga-pinga kerana lihat dalam studio tersebut tidak ada instrumen lain kecuali piano. Saya tak pernah menyanyi tanpa iringan muzik. Nak tanya tak berani pula sebab dia seorang yang cukup tegas, jadi saya pun nyanyi sahaja, sambil dia main piano.
“Beberapa hari kemudian dia beri saya dengar lagu tersebut. Saya terkejut kerana setelah dimasukkan muzik yang lengkap lagu tersebut menjadi cukup indah,” katanya.
Dengan populariti yang dikecapi ketika itu, dia seterusnya berjaya menerbitkan beberapa album lagi, antaranya Telus Asmara (1997), kompilasi (2000), serta 5 Suara Artis 90-an (2018) yang menampilkan artis wanita 90-an iaitu, Adila Idris, Mac Ruhayu, Azie Mustapha dan Norlie Tamam.
Kecewa, kesal bermain di fikiran
Menamatkan zaman bujang pada 2007, sama sekali tidak menghalang kerjaya seninya. Ibu kepada tiga orang anak ini menegaskan tidak pernah meletakkan had umur untuk bersara dalam industri. Selagi diterima, selagi itulah dia akan terus menghiburkan peminat.
“Saya cuba buat come back ketika menyertai sebuah program realiti TV sebelum ini. Tetapi hasrat itu tidak kesampaian apabila tidak bertahan lama setelah tersingkir pada awal minggu rancangan. Memang rasa cukup terkilan apatah lagi ketika itu saya terpaksa datang jauh dari Sabah kerana tinggal bersama suami yang bertugas di sana.
“Kecewa, menyesal, semua ada di fikiran. Bayangkan saya terpaksa berkorban tinggalkan suami dan anak-anak demi menggilap kerjaya, namun hampa. Kalaulah saya tahu begitu pengakhirannya pasti saya akan berfikir dua kali untuk terima tawaran tersebut.
“Saya menangis kerana sedih dengan apa yang berlaku. Bukan bermaksud tidak boleh menerima takdir, tetapi terfikir teruk sangatkah persembahan saya malam itu,” luahnya.
Anak bongsu dari 12 beradik ini berkata, pengalaman tersebut cukup mematangkan dirinya. Mengakui peristiwa itu menjadikan dia kini lebih berhati-hati dalam menerima setiap tawaran.
Dalam menelusuri kehidupan hari ini, dia memanjatkan rasa syukur kerana punya suami dan anak-anak yang begitu memahami.
Cuba beralih kerjaya baharu, dia kini mula berjinak-jinak dengan perniagaan pakaian yang dijalankan secara atas talian. Bermula atas dasar ‘suka-suka’, kini dia boleh menarik nafas lega apabila perniagaannya mampu menjana pendapatan yang lumayan.
Akui tenang dan gembira dengan apa yang diusahakan, sekali lagi dia berterima kasih kepada peminat yang masih menyokong hasil usaha kerasnya ketika ini.
“Alhamdulillah, sambutan diterima cukup menggalakkan. Pakaian yang saya jual ini semuanya dibeli dari Vietnam. Harga pun tak mahal dari RM8 hingga RM30 setiap helai. Bila harga murah pastinya tidak bebankan pelanggan, malah ada yang beli sehingga 10 helai sekali gus.
“Dalam seminggu hampir empat atau lima kali saya buat promosi secara live di Facebook. Kebiasaannya saya buat pada pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari, dan berikutnya pada pukul 9 malam hingga 11 malam pada hari sama. Selepas ini saya rancang nak buat peraduan pula. Siapa yang ikuti live saya dan kongsikan kepada pelayar lain, akan dapat hadiah istimewa.
“Kepada yang berminat nak lihat atau beli, bolehlah ikuti program live saya di Facebook Haslinda Arifah, insya-Allah saya cuba berikan yang terbaik buat anda semua,” katanya mengakhiri perbualan.