PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara terkenal, Nabil Mahir berkongsi perkembangan cahaya mata sulungnya di platform Instagram miliknya.
Menerusi entri tersebut, dia berkongsi perasaan terujanya menjadi bapa dengan berkongsi sekeping gambar yang memaparkan dia sedang memangku bayinya.
Katanya, Nabil memaklumkan anak sulung dan isterinya yang juga merupakan penyanyi dan pelakon popular, Ayda Jebat, kini berada dalam keadaan baik dan memerlukan rehat.
“Secara rasmi, saya seorang ayah! Alhamdulillah semuanya cepat dan berjalan lancar. Ayda melahirkan bayi jam 7.07 malam dan beratnya 2.77 kilogram (Kg).
“Ayda dan bayi sihat Alhamdulillah. Mereka berdua memerlukan rehat yang banyak. Malam semalam sudah mula bangun hampir setiap jam.
“Tetapi, Alhamdulillah bayi senang dipujuk. Terima kasih semua atas ucapan dan doa. Moga kita sama-sama mendapat keberkatannya,” kongsinya di Instagram.
Sebelum ini, penyanyi lagu Pencuri Hati itu mendedahkan dia terpaksa bersalin seminggu dari tarikh yang sepatutnya.
Kelmarin, Ayda telah selamat melahirkan bayi perempuan dengan cara pembedahan di sebuah hospital di Kuala Lumpur tepat pukul 7.07 malam.