Zaharah bangga jadi jurulatih zumba - Utusan Malaysia

Zaharah bangga jadi jurulatih zumba

Pengalaman manis Zaharah Mat Isa menjadi tenaga pengajar zumba untuk Program Aerofit bersama Jabatan Belia dan Sukan Daerah Hulu Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Gerak langkahnya lincah, cergas menari mengikut ritma lagu. Sesekali jeritan suaranya lebih kuat daripada muzik, memberikan arahan kepada pelajar, supaya mengikut gerak yang betul.

Barangkali ramai tidak menyangka wanita itu sudahpun berusia separuh abad.

Jurulatih Zumba, Zaharah Mat Isa, 55, ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, pembabitannya sebagai jurulatih zumba, bukanlah dirancang. Sebaliknya cadangan suami kerana Zaharah berjaya menurunkan berat badan dalam tempoh tiga bulan selepas melakukan zumba.

Sebagai persiapan menjadi jurulatih, beliau perlu mengikuti kursus Sijil Akeditasi Aerobik oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Pada 2004. Zaharah membuka Zara Fitness Studio terletak di Rawang, Selangor.

“Saya mengajar pelajar menggerakkan badan, memahami aturan gerak geri langkah yang betul kalau mahu cepat berlaku pembakaran kalori.

“Sesi latihan kebiasaannya mempunyai cakera padat disk tetapi saya lebih gemar membuat penambahbaikan mengikut kesesuaian pelajar,” katanya menjelaskan kelainan pengajarannya.

ZAHARAH MAT ISA

MENTOR PELAJAR

Sepanjang 18 tahun studio miliknya beroperasi, sambutan terhadap studionya begitu menggalakkan. Malah tidak menang tangan menganjurkan kelas.

Beliau turut bangga apabila ada dalam kalangan bekas pelajarnya telah membuka sendiri studio di kawasan kediaman masing-masing.

“Setidak tidaknya ilmu tersebut berpanjangan dan jangan lokek untuk berkongsi ilmu. Lebih daripada itu saya kita wanita kini sudah mempunyai kesedaran betapa pentingnya aktiviti riadah yang menyihatkan seperti senamrobik dan zumba,” katanya.

DULU BERISI

Pembabitan Zaharah dalam senaman zumba bermula kerana dirinya berdepan masalah berat badan selepas melahirkan anak sulung tiga dekad lalu.

“Ketika itu berat badan saya naik secara mendadak sehingga mencecah 80 kilogram (kg). Saya hampir berputus asa untuk kurus. Pelbagai cara dan kaedah saya lakukan.

“Jaga pemakanan dengan ketat, kurangkan ambil karbohidrat dan macam-macam lagi. Tetapi semuanya hampa. Berat badan saya kekal tidak turun-turun,” katanya.

Lebih mengecewakan katanya, situasi berkenaan menyebabkan rasa rendah diri dan tidak yakin pada diri sendiri semakin menebal di lubuk hatinya.

Situasi bertambah malang apabila tahap kesihatan dirinya kurang baik.

SUAMI PUJUK

Kata Zaharah, suaminya sentiasa memberi sokongan malah rajin memberikan kata-kata semangat untuk dirinya kembali mendapatkan berat badan ideal.

“Suami risau melihat keadaan saya. Boleh dikatakan hampir setiap hari dia memujuk tanpa jemu di samping memberikan kata-kata nasihat dan perangsang sebagai suntikan motivasi kepada diri saya untuk bertahan.

“Sedikit sebanyak kata-kata suami itulah yang telah menjentik naluri saya untuk sabar dan bertahan mencapai bentuk tubuh langsing,” kata ibu kepada tiga orang cahaya mata ini.

Bertitik tolak daripada itu, Zaharah mengubah tabiat pemakanannya kepada yang lebih sihat dan seimbang, seterusnya membabitkan diri dengan aktiviti zumba dan senam robik.

Berkat kesabaran membuahkan hasil apabila selepas tiga bulan, dia kembali langsing dan mencapai berat badan ideal. Sekali gus tahap kesihatan dirinya kian pulih.

COVID- 19

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 dilaksanakan di seluruh negara akibat penularan gelombang pandemik Covid-19, Zaharah turut merasa tempias.

“Lebih banyak kerja tambahan diperlukan apabila belajar secara maya. Kita perlukan televisyen, kamera, telefon pintar dan jenis lagu untuk dimainkan sebagai alat bantu mengajar.

“Gerak tarian juga perlu diubah mengikut kesesuaian agar tidak terlalu tersasar dari fokus kamera yang dipasangkan,” katanya.

Setiap hari Zaharah perlu menyediakan pautan terbaru. Kalau berlaku gangguan talian, pergerakan peserta terganggu.

“Capaian internet laju antara cabarannya. Begitupun norma baharu harus dimesrai. Lama-lama nanti pasti semakin baik,” katanya.

Biarpun setiap sesi biasanya membabitkan 30 peserta sahaja, namun ia bergantung juga dengan tahap jaringan talian internet di kawasan kediaman peserta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya