KUALA LUMPUR: Bakat baharu, Yadzir Muadz bakal mewakili negara ke pertandingan antarabangsa World Championship of Performance Arts (WCOPA) yang dijangka berlangsung di Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat November nanti.
Mohammad Yadzir Muadz Mohamad Suhut atau lebih mesra disapa Yad, 23, terpilih mewakili negara selepas berjaya melepasi dua kali saringan WCOPA dan merangkul pingat emas pada Jun lalu.
“Saya sangat bersyukur kerana bakal mewakili negara ke peringkat seterusnya. Jujurnya saya tidak menyangka bahawa rezeki berpihak kepada saya.
“Bagi saya, ramai peserta berpotensi dan berbakat malah teknik nyanyian masing-masing buat diri saya kecil ketika sesi uji bakat diadakan.
“Bukan saya seorang saja terkejut dengan berita itu, malah adik-beradik saya yang lain pun sama. Tapi mereka sentiasa memberikan dorongan dan sokongan untuk mengasah bakat saya,” ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Berkongsi mengenai seleksi lagu yang bakal diperdengarkan pada pertandingan itu kelak, jelas anak kelahiran Kuala Lumpur ini, lima buah lagu pelbagai genre akan didendangkan namun masih dalam perbincangan pihak organisasi tempatan.
“Secara peribadinya kalau saya sendiri ingin membawakan lagu irama tradisional seperti nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza, Cindai. Antara lagu-lagu lain berentak R&B nyanyian Alicia Key, balada Adele, rentak rancak lagu Bruno Mars dan rock, Steelheat, She’s gone.
“Insya-Allah saya akan berikan yang terbaik pada pertandingan itu nanti. Doakan semoga segalanya dipermudahkan dan dilancarkan,” jelasnya.
Sebagai informasi, WCOPA pernah menyaksikan naib juara Anugerah Juara Lagu ke-35, Aina Abdul dinobatkan sebagai pemenang Vokal Terbaik Dunia pada 2014. Selain itu, Siti Sarah pada 2009 dan Bob AF pada tahun sama.