PETALING JAYA: Penyanyi, Wany Hasrita menepis tanggapan segelintir pihak yang mempersoalkan kelayakannya untuk melakukan prosedur suntikan ketika melibatkan diri sebagai salah seorang petugas di pusat pemberian vaksin (PPV) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Wany atau nama penuhnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah yang baru-baru ini tampil sebagai tetamu The Amin Idris Show berkata, penglibatannya itu adalah berdasarkan pengalaman dan keperluan untuk menggalas tugas tersebut memandangkan berlakunya kekurangan juru suntik di PPV itu pada ketika itu.
“Untuk pengetahuan semua, sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah, saya telah mengambil diploma dalam bidang pembantu perubatan dan saya ada lesen serta boleh lakukan prosedur. Saya terfikir, kenapa tidak saya perbaharui lesen tersebut?
“Jadi, mula daripada itu saya tergerak hati untuk buat, memandangkan berlakunya kekurangan jurusuntik vaksin di sana,” katanya.
Bercerita lanjut, penyanyi yang popular menerusi lagu Menahan Rindu ini menjelaskan dia bukan sahaja terlibat sebagai jurusuntik, malah turut melakukan tugas-tugas lain termasuk ditempatkan di barisan hadapan.
“Saya tidak bermula sebagai petugas yang ditugaskan untuk menyuntik vaksin namun melakukan tugas-tugas di barisan hadapan, memeriksa status MySejahtera pengunjung, nombor kad pengenalan, maklumat temu janji semua.
“Ketika ditempatkan di bahagian suntikan sebagai pembantu, saya bertemu dengan Clinical Instructor (CI) saya semasa belajar di peringkat diploma dahulu. Dia hairan kenapa saya tidak perbaharui lesen yang ada kerana dengannya, saya boleh melakukan prosedur suntikan. Jadi dari saat itu, saya tergerak hati,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Wany juga memberitahu bahawa hidup yang tidak produktif kerana terpaksa berkurung di rumah sepanjang penularan wabak Covid-19 menjadi sebab yang mendorongnya untuk mendaftar diri sebagai salah seorang petugas di PPV tersebut.
“Kerja pun sekejap ada, sekejap tak ada. Sampai satu tahap saya rasa sangat tidak produktif, duduk rumah, makan tidur.
“Ibu saya pun susah hati. Jadi bermula dari saat itu, saya rasa saya perlu jaga kesihatan mental dan mula memikirkan apa yang boleh dilakukan.
“Kemudian, saya mula mencari. Jadi, saya dapat tempat di PPV UKM,” ujarnya.