Upsi perkenal kursus Diploma Thurath Islami - Utusan Malaysia

Upsi perkenal kursus Diploma Thurath Islami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Akademi Pondok Bitara, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bakal menawarkan Diploma Thurath Islami untuk pelajar lepasan pondok di negara ini.

Diploma itu akan membuka peluang kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) awal 2022. Akademi Pondok Bitara UPSI adalah satu-satunya unit yang melaksanakan aktiviti melalui sistem pondok di universiti khususnya UPSI. Ia juga menjadi keunikan akademi ini di Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI.

Menurut Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff, langkah itu mampu menjadikan pusat dan hab pendidikan Turath Islami yang signifikan dengan statusnya sebagai Universiti Pendidikan tunggal di Malaysia.

Beliau berkata, UPSI bakal menjadi universiti awam pertama menyediakan peluang pengajian pondok kepada masyarakat yang telah mengikuti pengajian secara formal dan tidak formal.

Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan, Prof. Madya Dr. Mohd Hairy Ibrahim pula berkata, pihaknya berhasrat menawarkan program pengajian peringkat diploma.

Katanya, ini agar lepasan pondok yang memenuhi syarat kelayakan boleh menyambung pengajian bidang Pengajian Islam secara lebih mendalam berasaskan kitab turath.

DR. MOHD. HAIRY IBRAHIM

Beliau berkata, akademi itu menjalin kerjasama dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Yayasan Addin, Jabatan Mufti Perak dan agensi-agensi kerajaan lain dan beberapa pusat pondok secara tradisional di beberapa negeri.

“Bakal pelajar diploma ini mampu mengaplikasi kemahiran teknikal termasuk penggunaan teknologi terkini dan ICT yang digunakan dalam pengajian Turath Islami selain mampu mengurus maklumat dengan cekap dalam bidang Turath Islami.

“Diploma ini juga mampu melahirkan graduan yang akan memberi tindak balas positif terhadap isu kontemporari berkait dengan pengajian Turath Islami,” katanya.

Secara tidak langsung penawaran Diploma Thurath Islami memberi peluang kepada pelajar lepasan pondok yang berdaftar dan tidak berdaftar bersama-sama pelajar lepasan sekolah arus perdana mendapatkan kelulusan yang diiktiraf oleh sistem pendidikan rasmi yang sedia ada.

Diploma Thurath Islami mempunyai ciri-ciri transformatif berasaskan penyampaian abad ke-21 menerusi ruang pembelajaran yang futuristik serta penggunaan teknologi digital terkini bagi mewujudkan pembelajaran imersif berdasarkan pengalaman.

Pelajar juga didedahkan dengan gaya pembelajaran konvensional dan terkini melalui pendekatan pembelajaran secara masteri dan kendiri.

Akademi Pondok Bitara UPSI juga bakal menjalinkan kerjasama dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), Jabatan Pendidikan Islam, Pejabat Pendidikan Negeri Terengganu, Majlis Agama Islam negeri Pulau Pinang dan Kedah serta beberapa Jabatan Agama Islam Negeri-negeri lain.

Akademi pondok Bitara UPSI bekerjasama dengan universiti awam lain termasuk Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan beberapa institusi pondok swasta dalam mempertingkatkan pengajaran dan pembelajaran secara maya.

Selain itu Akademi Pondok Bitara turut menjalinkan kerjasama dengan tokoh-tokoh pondok di seluruh Malaysia dalam mengukuhkan aktiviti dan program yang dilaksanakan.

Dalam norma covid-19 ini, program Akademi Pondok Bitara telah dilaksanakan secara maya atau dalam taliandan akan mengundang tokoh-tokoh pondok di Malaysia untuk membantu Jawatankuasa Akademi Pondok Bitara UPSI.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya