Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkasa hubungan antara universiti dan alumni pelajar menerusi penganjuran Persidangan Pemerkasaan Alumni Anak Kandung Suluh Budiman.
Persidangan itu adalah platform pertemuan antara pihak universiti dan bekas pelajar. Ia bagi membincangkan hala tuju perkembangan hubungan strategik antara dua entiti tersebut.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, inisiatif itu bukan sahaja dapat memperkukuh hubungan dua hala malah mereka dapat mendengar pendapat alumni bagi melestarikan perkembangan kedua-dua pihak.
“Selain memperkukuhkan hubungan alumni dengan universiti, persidangan ini memberi peluang kepada alumni untuk menyumbang ke arah pembangunan universiti yang lebih mapan.
“Bermula dengan penubuhan jawatankuasa alumni di setiap negeri yang disusun sejak beberapa bulan lalu, hari ini setiap jawatankuasa menghantar wakil untuk membentangkan usul kepada lima pecahan merangkumi aspek kebajikan, akademik, infrastruktur, kewangan dan juga pengurusan data alumni.
“Menerusi usul-usul ini juga, pihak universiti akan memberi pertimbangan lalu merealisasikan sewajarnya,” ujarnya.
Selain itu, beberapa inisiatif dijalankan oleh pihak universiti berbentuk faedah pemotongan yuran pengajian pasca siswazah sebanyak 15 peratus kepada bekas siswazah yang melanjutkan pengajian di UPSI.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Suriani Abu Bakar.
“Selain itu bekas penuntut turut menikmati faedah potongan diskaun kadar sewa penggunaan prasarana universiti serta pembelian buku dan barang dagangan terbitan universiti.
“Bukan itu saja, Pusat Alumni UPSI misalnya menjalankan pelbagai inisiatif seperti pelaksanaan program, pengiktirafan, pengurusan data serta penerbitan untuk melestarikan perkembangan alumni,” jelasnya.