UMT- Terengganu e-Sailing League (July Series) kembali membuka gelanggang mayanya bermula 23 hingga 25 Julai yang lalu. Kejohanan bersiri ini sepatutnya diadakan pada awal Jun tetapi tertangguh ekoran seluruh negara menghadapi perintah kawalan pergerakan (PKP 3.0)
Penangguhan itu terpaksa dibuat kerana urus setia kejohanan tidak dapat hadir secara fizikal ke Makmal Sains Nautika di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang memiliki kemudahan untuk penganjuran sukan maya ini.
Pengarah Pusat Latihan Pelayaran UMT, Mohd. Hafizi Said berkata, kejohanan kali ini melakar sejarahnya yang tersendiri dengan penyertaan teramai.
Katanya, ia melibatkan 216 peserta di mana 112 daripadanya adalah peserta baharu yang pertama kali menyertai kejohanan sukan layar maya peringkat kebangsaan ini.
“Kejohanan e-sailing diwujudkan hasil kerjasama Pusat Latihan Pelayaran UMT, Terengganu Wind Surfing Association (T-WinS) dan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) setahun yang lalu menggunakan aplikasi Virtual Regatta,” katanya.
Untuk rekod, Virtual Regatta adalah aplikasi rasmi yang diiktiraf oleh badan induk pelayaran dunia (World Sailing) dalam penganjuran e-sailing peringkat antarabangsa.
Ini menjadikan kejohanan bersiri UMT-Terengganu e-sailing sebagai platform terbaik bagi mencari bakat atlet e-sport negara khususnya dalam sukan pelayaran.
Hafizi berkata, pihak penganjur sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi menganjurkan kejohanan kebangsaan e-sailing di peringkat Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM).
“Diharapkan usaha ini dapat mencungkil jaguh sukan maya dalam kalangan pelajar sekolah dari seluruh negara,” tambahnya.
Selari dengan moto kejohanan tahun ini iaitu Now Everyone Can Sail, semua orang berpeluang untuk memahami dan menyertai pertandingan dalam sukan pelayaran tanpa mengira peringkat umur, jantina dan keupayaan diri.
Ini kerana penyertaan dari kumpulan orang kurang upaya juga mendpaat sambutan dalam setiap siri kejohanan.
Peserta yang memenuhi syarat pertandingan diberi sijil elektronik. Hadiah misteri turut disampaikan kepada dua pemenang utama siri kali ini iaitu Asri Azman dan Al Yauma Akma Zulkifeli.