UiTM Melaka sekali lagi menjalankan ibadat korban di Kemboja tahun ini di kawasan-kawasan minoriti muslim di pendalaman Kemboja. Projek khas sempena Aidiladha anjuran Unit Waqaf, Zakat dan Infaq (El-Wazif), Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) itu adalah program berbentuk ibadah korban dan khidmat masyarakat.
Sebanyak 14 ekor lembu disembelih di beberapa kampung terpilih seperti kampung Crop Daerah Kebal Lemis Negeri Stong Treng, kampung Kreak Saman Daerah Chelong Negeri Kratie, kampung Rom Chek km23 Tbong Khmom dan kampung Krosah Tmey Daerah Kampong Trolack Negeri Kampong Chhnang.
Pengarah projek Korban Kemboja 2021, Muaz Mohd. Noor berkata, aktiviti korban itu adalah sebahagian daripada misi tiga tahun ACIS bersama madrasah angkat di Kemboja, iaitu madrasah Maulana Othman bermula 2019 hingga 2022.
“Pada asalnya kita ingin menangguhkan program ini berikutan negara kita masih bergelut dengan wabak Covid-19.
“Namun atas dasar tanggungjawab dan hubungan kami dengan madrasah angkat kami di Kemboja, selain permintaan staf kita sendiri, jadi kita teruskan projek pada tahun ini dengan skala yang kecil,” katanya.
Muaz yang juga Koordinator E-Wazif berkata, penganjur hanya menyediakan platform ini bagi mereka yang berminat selain yang kurang berkemampuan dari sudut kewangan berikutan impak PKP 3.0, namun masih berhasrat menunaikan tuntutan ibadah korban.
“Sepertimana kita tahu, harga pasaran korban di luar negara jauh lebih murah berbanding dalam negara. Jadi kita buka ruang ini supaya mereka juga dapat menunaikan ibadat korban pada tahun ini. Dalam masa yang sama dapat membantu saudara muslim kita di Kemboja”, ujarnya.
Sementara itu, penasihat projek, Prof. Madya Dr. S. Salahudin Suyurno berkata, program ini turut mendapat sokongan daripada rektor UiTM Melaka, Prof. Dr. Abd. Halim Mohd. Noor sebagai salah satu projek khidmat masyarakat universiti.
“Korban Kemboja ini adalah program tahunan ACIS bermula 2019 hingga 2022. Namun kita di peringkat universiti tetap meneruskan penganjuran korban tahun ini untuk diagihkan kepada staf-staf kita yang kurang berkemampuan di ketiga-tiga kampus,” ujarnya.
Dengan kerjasama ACIS dan Unit Hal Ehwal Islam (UHEI), tujuh ekor lembu disembelih di peringkat UiTM Melaka iaitu lima daripadanya untuk kampus Alor Gajah dan masing-masing seekor di kampus Jasin dan Bandar Melaka.
Tahun lalu, 15 ekor lembu dikorbankan dan diagihkan dagingnya kepada masyarakat minoriti Islam di Wilayah Kandal, Wilayah Thbong Khmom dan Wilayah Kampung Chhnang selain pusat-pusat tahfiz termasuk di perkampungan sempadan Laos.
Selain daging korban, sumbangan barang-barang keperluan harian turut dihulurkan kepada masyarakat miskin khususnya yang terkesan dengan Covid-19 pada pertengahan tahun lalu.