KUALA LUMPUR: Selebriti dan usahawan, Shuib, 36, menerusi audio WhatsApp telah pun mengampuni khilaf pempengaruh, Aisar Khaledd pada pagi 11 Ogos lalu.
Audio itu dimuat naik oleh Aisar di akaun Instagramnya sebentar tadi.
“Tidak mengapa… saya dari awal dapat tahu dan tengok video itu, saya sudah maafkan awak. Tiada gunanya saya nak sakit hati nak berdendam. Saya nak mudahkan urusan semua orang sebab saya juga minta Allah mudahkan urusan saya.
“Jadi saya tidak mahu berbuat salah juga tidak mahu menyusahkan orang lain. InsyaAllah awak orang hebat dan baik, terus buat kebaikan,” ujarnya.
Shuib atau Shahmira Muhamad juga berkata, di dunia ini tiada manusia yang sempurna malah dia mengakui ada kekurangan dan khilaf pada diri sendiri.
“Saya juga selalu berbuat salah dan dosa. Banyak dosa saya dengan Allah. Tapi mungkin apa yang kita boleh ambil pengajaran ini, janganlah kita membuat kesalahan sama atau pun kita tidak perasan kesalahan itu tidak sepatutnya kita buat.
“Saya doakan awak terus menjadi YouTuber yang hebat, baik dan bagus. Gunakan platform kita untuk sebarkan kebaikan. Jangan jadi orang yang terlalu seronok membuat kandungan sampaikan akhirnya nanti, apa yang kita buat itu akan makan diri kita sendiri.
“InsyaAllah kita kena ingat kematian cukup hampir dengan kita, cuma tidak tahu bila. Jadi semoga kebaikan yang kita buat di atas muka bumi ini menerusi platform yang Allah bagi untuk perkara baik untuk semua dan kita,” tuturnya.
Sementara itu, Aisar berterima kasih kepada suami arwah penyanyi Siti Sarah Raissuddin dan mengakui ujian yang dilaluinya awal Ogos lalu telah merubah hidupnya.
Terdahulu Aisar membuat dan memuat naik kandungan melawat pusara arwah dan menjadikan bahan itu sebagai kandungan berbentuk peraduan. Pun begitu, selepas dihentam rakyat Malaysia, Aisar telah pun membuat permohonan maaf secara terbuka dua kali dan memadam kandungan tersebut.