“Terima kasih, Siti Sarah...” - Utusan Malaysia

“Terima kasih, Siti Sarah…”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INI bukanlah belasungkawa lengkap sejarah, tetapi sekadar satu catatan peribadi. Sejujurnya, hilang kata-kata saya untuk menulis kali ini. Tipu jika kita tidak berasa sedih dengan kehilangan besar ini. Pemergian yang cukup dicemburui kita semua.

Perginya wanita berjiwa besar ini setelah berjuang melahirkan anak. Perginya bintang seni bersuara emas ini setelah gigih melawan Covid-19.

Poklip bukanlah wartawan yang rapat dengan Allahyarham Siti Sarah Raissuddin. Tetapi kami saling mengenali. Kalau bersua, pasti gelak ketawa menemani.

Sejujurnya, perkenalan kami atas dasar kerja sahaja. Acap kali juga Poklip bekerjasama dengan bintang seni yang cukup dikagumi suaranya. Dia permata yang punya kedudukan tersendiri.

Mengenali penyanyi kelahiran Bintang RTM sekitar tahun 2001 ini, keperibadiannya cukup disenangi. Allahyarham tak banyak songeh. Ikutkan sahaja permintaan rakan wartawan selagi tidak melanggar prinsipnya.

Pernah sekali, Poklip dan juruvideo (ketika bertugas di MHE TV) mahu merakam segmen 21 Questions With Siti Sarah and Shuib. Kami berkumpul di sebuah restoran. Poklip tak ingat di mana.

Sesampai ke lokasi, kami ‘dipaksa’ makan dahulu. Kerja kemudian, yang penting perut diisi. Itu antara ihsan kecil di matanya tetapi cukup besar di mata kami. Itu antara bukti kecil kebaikan dan kemurnian hatinya.

Proses rakaman memang sekejap, tetapi asyik diulang-ulang kerana Allahyarham seorang yang happy go lucky. Dia jawab, dia gelak dahulu. Dalam pada masa sama, kami gelak juga. Memang pecah perut.

Tetapi video itu hanya menjadi satu rakaman sejarah untuk kami yang ada ketika itu. Gelak tawa­nya pasti akan dirindui. Cukup terkesan Poklip dan rakan dengan pemergian seorang permata seni ini.

Seperti yang Poklip katakan, kami bukan teman rapat. Tetapi murni hati dan keperibadian baiknya membanjiri garis masa media sosial Poklip. Tergerak di hati, adakah pengakhiran aku kelak juga sebaik Allahyarham.

Lantas Poklip segera menyusun kemaafan kepada rakan-rakan yang mungkin selama ini pernah kita lukai secara sedar atau tidak. Itu perkara pertama yang Allahyarham ‘hadiahkan’ kepada Poklip.

Poklip juga sedar, ketika garis masa hidup kita belum tentu sampai bila, kita seharusnya mula menghargai orang sekeliling. Pandemik atau tidak, kasih sayang dan penghargaan itu menjadi penguat hati kita.

Segera telefon ibu bapa, adik beradik, ahli keluarga dan rakan terdekat. Tanya khabar, luahkan rasa sayang kerana kita tidak tahu, bila agaknya tanah akan memisahkan pandangan lantas memberi rasa rindu tiada berpenghujung.

Perjalanan Allahyarham dalam dunia seni ini bukan setenang air mengalir. Batu-batu yang tersusun membuatkan air itu berkocak. Namun tidak pernah berhenti. Dia terus mengalir, seperti semangatnya.

Allahyarham mungkin bukan juara dalam setiap pertandingan yang dimasuki tetapi Siti Sarah Raissuddin, juara di hati kita. Namanya terus mewangi, seharum kebaikan hati dan peribadi­nya.

Melihat bagaimana dia menjalani hidup sebagai seorang anak, isteri, ibu, sahabat dan manusia, kita sedar ketika nyawa dikandung badanlah kita harus pikul tugas itu sebaik yang mungkin.

Di kesempatan dan ruang kecil ini, Poklip sendiri memohon maaf kepada semua andai tulisan Poklip pernah mengguris hati sesiapa. Malah, Poklip juga memohon agar kita memaafkan sesiapa sahaja yang pernah melukakan hati kita.

Jadikan pemergian mereka yang terkorban akibat Covid-19 dan yang telah meninggalkan kita ini sebagai asbab untuk terus menjaga malah memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Benar kata Naim Daniel, nyawa pada waktu sekarang mudah direntap tanpa amaran.

Selamat pulang ke negeri abadi Siti Sarah Raissudin dan insan lain yang telah meninggalkan kita akibat virus durjana. Untuk kita semua, teruskan berjuang. Sayangi diri anda dan sayangi orang lain juga. Al Fatihah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya