APABILA Sweet Qismina menyerlahkan sisi seorang wanita yang lantang dalam berbicara, ternyata ramai yang tidak dapat menerima kenyataan itu. Ini berbalik kepada isu sebelum ini yang mana dia ada beberapa kali dilihat berani menyuarakan pendapat menerusi media sosial dengan antaranya menyentuh mengenai isu negara.
Pernah menegur tindakan pemimpin negara sebelum ini, Wah! Apa betul ini Sweet Qismina yang semua kenali? Berpewatakan manis sesuai namanya dan yang sering menggalas watak remaja polos itu?
Sebetulnya, bagi mereka yang benar-benar mengenali pelakon berusia 24 tahun ini, perkara itu bukanlah dilihat sebagai satu perubahan drastik.
Malahan, bernafas dalam udara yang sama di negara berpaksi demokrasi, tiada salahnya jika dia sebagai rakyat marhaen melontarkan pandangan, sama seperti mana-mana individu lain.
“Takkanlah hanya kerana gelaran artis, maka tak boleh bersuara tentang sesuatu isu? Janganlah membeza-bezakan antara figura awam dengan rakyat lain. Saya tak pernah anggap diri ada hak keistimewaan sebagai selebriti. Industri seni pun ada yang terbahagi kepada golongan B40, M40, T20,” jelasnya.
Bagaimanapun, Sweet memahami ada kerisauan timbul jika golongan artis dan selebriti terlalu lantang menyuarakan pandangan dan kelak ia mampu mempengaruhi orang lain.
“Orang lihat suara selebriti dan artis ini dalam kelompok besar. Mungkin apa yang disuarakan boleh mempengaruhi pengikut, ini yang dibimbangi warganet.
“Pada saya, itu berdasarkan pengikutlah. Artis itu pun kena tahu pengikut mereka jenis macam mana. Sesiapa yang dari dulu jadi pengikut saya dari zaman awal-awal media sosial wujud, mereka akan tahu saya macam ini. Tujuannya berkongsi pendapat.
“Saya tak pernah letakkan diri sebagai seorang pempengaruh atau apa kerana apabila saya berinteraksi dalam media sosial, saya anggap semua itu seperti kawan dan berbual tentang apa sahaja isu semasa,”katanya.
Pun begitu, dia tidak pernah menganggap cuma dirinya sahaja betul kerana dalam masa sama, Sweet juga ialah seorang yang terbuka menerima kritikan.
Malah, dari semasa ke semasa, pelakon ini belajar untuk memperbaiki kelemahan diri dan ambil pengajaran daripada apa yang berlaku sebelum ini.
“Sekarang saya akan lebih berfikir dahulu sebelum memuat naik komen atau pendapat. Tengok pada situasi. Mungkin akan guna pendekatan berkias dan tidak terlalu lantang. Jika silap langkah, ia boleh buat mental kita terjejas pula,”katanya.
Pun begitu, dia tidak menolak adakalanya orang tidak boleh menerima dia berani bersuara kerana dia ialah Sweet Qismina.
Katanya, keadaan ini lebih kurang sama dengan situasi ramai masih tidak boleh menerima dirinya melakonkan watak dewasa berbanding watak remaja sekolah atau pelajar universiti.
“Mereka ini lupa saya sudah berusia 24 tahun dan selepas tamat pengajian, saya ada komitmen seperti bil-bil yang perlu dibayar selain menanggung keluarga misalnya,” katanya.
Tegurlah dengan bijaksana
Berbeza dengan pandangan sesetengah artis lain yang lazimnya menghentam pengguna media sosial lain dengan ada yang mengklasifikasikan warganet sebagai ahli neraka, Sweet malah meraikan kewujudan mereka di ruangan maya.
Kata pelakon ini, ada baiknya golongan warganet ini wujud kerana sekurang-kurangnya, setiap kali ada yang memberi teguran, maka seseorang artis atau selebriti itu mampu tersedar dan tidak meninggi diri.
“Kita pun kena terima pandangan orang secara tak langsung. Kalau tak ada netizen ini, rasanya kita pun boleh jadi lupa diri, syok sangat kononnya nak suarakan pendapat dengan harapan orang terima sahaja cakap kita.
“Ada bagusnya bila orang lain tegur. Tetapi, ada juga sesetengah netizen yang tak pandai menegur dengan cara betul. Itu saya tak nafikan. Kalau boleh, tegurlah dengan cara bijaksana. Kita sama-sama berkongsi pendapat di media sosial, sama-samalah juga boleh terima kritikan,” katanya.
Tidak menyesal
Membawanya berbicara mengenai isu komitmen, sebagaimana semua tahu, sejak berusia 9 tahun, Sweet sudah berada dalam lapangan seni hiburan dan mengenal kerja sebagai seorang pengamal kreatif.
Mengorbankan zaman kanak-kanak untuk bergelar pelakon, Sweet bagaimanapun tidak merasa terbeban andai ada yang mengatakan dirinya menjadi tulang belakang keluarganya.
“Saya bekerja dari usia muda dan mama sentiasa beritahu, duit yang saya dapat hasil kerja itu adalah untuk simpanan di masa hadapan.
“Saya tak menyesal pun. Orang lain, masa umur muda tak perlu fikir pun pasal komitmen, tetapi saya sudah pun berfikir lebih ke hadapan,” katanya.
Melakukan semua itu atas dasar tanggungjawab, Sweet mengaku tidak pernah terfikir untuk melupakan semua itu sekiranya sudah sampai serunya untuk berkahwin. Mana mungkin dia akan meninggalkan tanggungjawabnya terhadap keluarga terutama mama memandangkan dia sudah nekad, jika sudah bergelar isteri orang, ibu tetap sentiasa berada dengannya.
“Sebab itulah saya pernah katakan dulu, syarat memperisterikan saya adalah dengan menerima baik keluarga sekali. Saya berharap bakal suami boleh menerima kemahuan saya agar mama tinggal bersama. Kalau tak boleh terima syarat itu, saya anggap tiada jodohlah dengan orang itu,” katanya.
Menurut Sweet, dia bahkan pernah bertanyakan perkara ini dengan seorang ustaz saat keliru adakah dirinya boleh melakukan permintaan itu.
“Kita sama-sama kena terima keluarga masing-masing, cuma saya berharap bakal suami boleh mengizinkan mama tinggal bersama. Betul sebagai perempuan lepas kahwin kena ikut suami.
“Tetapi kata ustaz, tidak semestinya begitu. Jika wanita itu masih ada tanggungjawab menjaga ibu bapa, si lelaki perlu bantu dan faham. Wanita kena tahu apa hak yang boleh disuarakan,” katanya.
Romantis si Adam
Dalam pada itu, menyedari ramai sering bertanya tentang perancangannya untuk menamatkan zaman bujang lantaran sudah hampir tiga tahun menjalin cinta dengan pelakon Adam Lee, Sweet mengaku perkara itu sukar untuk diramal.
“Dulu pernah saya kata, nak kahwin masa umur 25 tahun. Tapi sekarang kita semua pun kena berkurung, macam mana ya?” katanya.
Sengaja mengusik Sweet yang baru-baru ini menerima kejutan sejambak bunga segar daripada Adam, ada tawa segan silu di hujung katanya.
Mengaku Adam jarang menunjukkan sisi romantik, Sweet melihat kekasihnya itu memiliki karakter lelaki yang suka bertindak, berbanding berkata manis di mulut.
“Kebetulan, beberapa hari sebelum itu, saya ada muat naik gambar bunga di Instagram Story (IGS), tapi bukan niat nak suruh sesiapa belikan.
“Kemudian tak sangka pula dia muncul di pintu rumah dan beri kejutan itu. Jaranglah dia nak tunjuk manis-manis macam itu. Malu juga dia bila saya muat naik gambar menerima bunga itu termasuk ucapannya pada kad yang dihantar.
“Tertulis perkataan, bakal imam awak. Dia tak sangka saya akan muat naik ucapan pada kad itu,“ katanya sambil ketawa.
Tenang bersama Adam, kata Sweet, dia juga bertuah mengenali lelaki itu kerana Adam sentiasa memberikan nasihat positif buat dirinya.
“Contohnya, mengenai media sosial. Adam pernah berpesan agar saya kurangkan berkongsi hal peribadi dalam media sosial, jangan terlalu terbuka. Nanti suatu masa akan memberi kesan kepada diri. Dia pun bukan jenis yang aktif dalam media sosial melainkan berkongsi bab kerja,” terangnya.