Suka tapi tak bermakna 24 jam main ‘game’ - Syafiq Farhain - Utusan Malaysia

Suka tapi tak bermakna 24 jam main ‘game’ – Syafiq Farhain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Sama seperti anak muda yang lain, penyanyi, Syafiq Farhain, 28, juga mengaku gemar bermain permainan video atas talian namun tidak membiarkan dirinya hanyut dengannya dengan meletakkan batas waktu.

Menurut Syafiq, dia sedar permainan video adakalanya boleh membuat seseorang itu terlalu leka sehingga tidak dapat melakukan aktiviti atau pekerjaan lain.

“Saya suka saja main game. Malah sejak dari kecil lagi. Tapi tak adalah sampai 24 jam nak mengadap itu saja. Bila ada masa terluang, saya mainlah tak kira permainan video Players Unknown Battleground (PUBG) atau Call of Duty (COD).

“Sekadar bermain saja tapi tak pernah sertai mana-mana pertandingan. Jangan pula ada yang salah sangka saya asyik main game. Kalau leka sangat macam mana saya nak buat kerja lain betul tak?”katanya.

Syafiq berkata demikian semasa ditemui dalam satu sidang media secara virtual sempena pelancaran Mobile Legend : Anonymoz Merdeka Challenge 2021 yang diadakan baru-baru ini.

Turut hadir ke sesi tersebut ialah penganjur dan pengasas organisasi E-Sukan tersebut, Muhammad Haikal Mohd Fauzi atau dikenali sebagai Ben Haikal serta penyanyi Apak Harry Khalifah.

Selain itu, penyanyi ini bagaimanapun tidak menyelar mana-mana individu yang suka bermain permainan video sehingga ada yang menjadikan ia sebagai bidang kerjaya dan sumber pendapatan.

“Saya ini main sekadar hobi. Saya tahu ramai juga yang serius bermain game tapi tak semestinya kita boleh kata ia sebagai membuang masa. Ada yang dapat meraih pendapatan menerusinya, jadi tak akanlah kita nak kata itu buang masa?

“Bagi saya, ia akan menjadi buang masa seandainya apa yang kita buat itu tidak mendatangkan hasil,”katanya.

Berkongsi lanjut, kata Syafiq, dia pernah terjebak bermain permainan video sehingga 10 jam lamanya dalam sehari kerana terlalu asyik.

Pun begitu, perkara itu tidak berlaku setiap hari dan tabiat itu sudah lama ditinggalkan selain cuma berlaku sewaktu berpeluang menikmati hari cuti.

Dalam pada itu, Syafiq yang juga menggalas jawatan sebagai pegawai bomba mengaku merindui kehangatan dunia seni menerusi acara persembahan pentas dan sebagainya.

Katanya, banyak perkara berkaitan aktiviti seni menjadi begitu terbatas sejak pandemik berlaku namun sedar segalanya pasti mempunyai hikmah tersendiri.

“Rasa lama sangat tak buat persembahan di depan orang ramai. Perasaannya itu tidak sama dengan persembahan secara virtual misalnya. Kalau tidak kerana Covid, sekurang-kurangnya seminggu adalah sekali atau dua kali saya terima jemputan menyanyi.

“Bila lama tak menyanyi di depan orang ini, rasa kekok pun ada. Tak apalah, kita doakan semuanya baik-baik sahaja ya,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya