KUALA LUMPUR: Pelakon, Ruzana Ibrahim berharap penggiat seni segera mendapatkan vaksin bagi memudahkan rumah produksi atau penggambaran dijalankan dengan lancar.
Menurut Ruzana, 36, syarat kelonggaran yang diberikan kerajaan itu adalah sebagai langkah untuk membendung penularan jangkitan wabak berbahaya.
“Saya harap sangat pihak yang terlibat dalam produksi sila ambil tanggungjawab untuk mendapatkan vaksin dan lengkap dua dos, sebab itu adalah antara syarat pemberian daripada kerajaan.
“Suka atau tidak, kena patuh demi keselamatan masing-masing, kita jaga kita,” ujarnya sudah lengkap dua dos vaksinasi.
Ruzana berkata demikian pada sidang media drama bersiri 13 episod, Hawa yang akan ditayangkan di Astro Ria setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 10 malam.
Tampil dengan perwatakan yang kurang dibawa, Ruzana yang lebih sinonim dengan watak jahat berkata, dia tidak pernah memilih sungguh pun pernah didakwa kerap melakonkan watak berulang.
“Ya saya pernah didakwa oleh penonton asyik berlakon watak jahat saja. Sebelum ini pernah diajukan soalan sama oleh media dalam pemilihan watak dan jawapan saya konsisten.
“Saya tidak memilih… tetapi sudah diberi kepercayaan dalam menggalas peranan tersebut. Bila senang menghidupkan watak dengan bersahaja, penonton mungkin stereotaip.
“Disebabkan itu, ada kemungkinan juga produksi tempatan selalu memberikan saya watak berulang,” jelasnya yang bakal menghadiahkan watak Angah dalam drama Hawa.
Drama terbitan Infinitus dan arahan Tam Suhaimi membariskan bintang seperti Hamidah Wahab, Nadiya Nisaa, dan Bella Dowanna.