Selepas sepuluh tahun kumpulan Statuz mengeluarkan album pertamanya yang berjudul Inspirasi XI, kini kumpulan itu kembali mewarnai industri muzik Malaysia dengan mengeluarkan album terbaharu mereka, Next Level.
Menurut pemain gitar kumpulan, Zoul Abdullah, antara lagu dalam album pertamanya yang mendapat sambutan ialah Yusarima dan Konspirasi Al-Masikh.
“Tidak dinafikan, pada 10 tahun yang lalu album tersebut tidak mendapat sambutan yang diharapkan.
“Dengan kemunculan semula Statuz dengan album kedua itu, kami berharap pendengar muzik di Asia dapat memberi peluang kepada kami,” katanya kepada Pancaindera.
Kumpulan yang dianggotai Wafie (vokalis), Zoul (Gitaris), Muiz (pemain bass), dan Ah Mei (pemain drum) bercita-cita untuk memperluaskan muzik dan karya mereka di Malaysia, Indonesia dan Singapura.
Album terbaharu Statuz itu merangkumi dua buah lagu yang berjudul Siapa Aku yang dicipta oleh Ezra Yaakob manakala Pendusta Nikmat adalah ciptaan Burn dari kumpulan Crossfire dan Zoul sendiri.
“Lagu-lagu yang bergenre hard rock dalam album kedua kami itu menyampaikan pelbagai mesej yang positif kepada pendengar.
“Jika lirik lagu dihayati sepenuhnya, ia seolah-oleh memberi peringatan dan mendorong pendengar ke arah kebaikan,” jelas Zoul yang berusia 41 tahun itu.
Zoul akui mengukir nama dalam industri seni tanah air ini tidak mudah kerana Statuz telah mula menapak dalam industri ini sejak 2011, namun kehadiran mereka kurang dirasai oleh negara.
Mengulas mengenai cabaran yang diharungi, Zoul memberitahu antara cabaran terbesar kumpulan itu untuk membuat muzik adalah ketika dunia sedang dilanda pandemik Covid-19.
Menurutnya, sekatan perjalanan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan lebih menyukarkan tugas mereka untuk membuat rakaman.
“Selain mengejar impian kami sebagai pemuzik, kami juga merupakan peniaga. Pengurusan masa menjadi cabaran yang besar kerana kami masih perlu mencari sumber pendapatan.
“Banyak perkara yang berkaitan dengan promosi muzik kami juga perlu ditangguhkan kerana keadaan semasa yang tidak mengizinkan. Namun, setelah berusaha sedaya upaya, kami telah berjaya mengeluarkan album terbaharu itu,” katanya.
Pada masa hadapan, Statuz merancang untuk membuat road tour di seluruh negara. Album Next Level Statuz yang diterbitkan oleh Quantize Studio & Production itu berkemungkinan akan berada di semua platform digital pada minggu hadapan.
Karya mereka juga boleh didengarkan di radio dalam talian, laman YouTube dan Instagram (Statuz2021_official) serta laman Facebook mereka (WeareStatuz).