KUALA LUMPUR: Awal pagi ini industri hiburan dikejutkan dengan berita pemergian Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, 37, selepas berperang nyawa akibat jangkitan Covid-19.
Rata-rata rakan artis memuat naik ucapan salam takziah buat penyanyi Kesetiaan itu. Antaranya seperti Fazura, Johan Asa’ri, Norman Hakim, Shiha Zikir dan ramai lagi.
“Semoga roh Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin dimuliakan di sisi Allah SWT dan ditempatkan di jannah firdaus.
“Salam takziah buat Shuib sekeluarga daripada kami sekeluarga. Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan dan kesabaran dalam menjalani hari-hari yang akan datang. Insya-Allah,” tulis Fazura di Instagram selepas mendengar khabar sedih itu.
Akhir Julai lalu, Sarah mengesahkan dirinya dan keluarga positif Covid-19. Selain dirinya, suami bersama tiga anak mereka iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, disahkan positif.
Begitu pun, Shuib atau nama sebenar, Shahmira Muhamad bersama anak-anak disahkan negatif selepas melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari.
Bagaimanapun, Sarah dikejarkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) petang Rabu lalu berikutan tahap oksigen dalam badannya yang semakin merosot dan menyebabkan dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada pagi Jumaat.
Petang Jumaat lepas, Sarah yang hamil lapan bulan itu terpaksa melalui proses pembedahan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungan selepas tahap oksigen menurun sejak pagi Jumaat.
Bayi pramatang yang dinamakan sebagai Ayash Affan atas pilihan Sarah selamat dilahirkan sekitar pukul 5 petang.