PETALING JAYA: Penyanyi, Bella Astillah mendedahkan dia dan keluarga pernah diganggu mahkluk halus ketika mengikuti penggambaran di sebuah pusat peranginan, satu ketika dahulu.
Bella atau nama sebenar Dayang Nabellah Awang Astillah menerusi Instagram berkata, kejadian menyeramkan itu berlaku ketika dia berumur sembilan tahun.
Katanya pengalaman menyeramkan itu berlaku ketika mereka menginap di sebuah kondominium yang disediakan pihak produksi.
“Selepas penggambaran selesai kami sekeluarga pulang ke tempat penginapan yang terletak berdekatan.
“Ketika sampai kami dapati tempat letak kereta penuh dan terpaksa meletakkan kenderaan di kawasan sedikit jauh.
“Namun, momen seram bermula apabila saya terhidu bau busuk dan kemudian terpandang plastik hitam yang seakan menutup sesuatu. Kemudian, ketika di dalam lif, kami bertembung dengan sepasang suami isteri. Si isteri yang mengendong bayi ketika itu menegur ayah dan bertanya sama ada kami ingin menginap di tempat itu. Dia kemudian menasihatkan kepada kami agar berhati-hati,” katanya.
Bercerita lanjut, satu persatu gangguan menghantui dia sekeluarga ketika berada di dalam rumah yang menyeramkan.
Kata Bella, ibunya antara individu yang paling banyak diganggu sehingga cuba mencederakan diri sendiri.
“Ibu cerita ketika tidur kakinya ditarik. Selain itu, ketika masuk ke tandas, dia terkejut dan pengsan selepas melihat seorang perempuan berambut panjang yang berendam dalam tab mandi dipenuhi darah.
“Ada satu ketika ibu juga meracau dan mencekik diri sendiri sehingga ayah terpaksa menampar mukanya tiga kali sehingga dia sedarkan diri,” cerita Bella lagi.
Selain itu, Bella turut menyingkap gangguan-gangguan lain yang berlaku semasa kejadian termasuk suara tangisan yang semakin kuat kedengaran.
“Bukan itu sahaja, televisyen yang ditutup terbuka sendiri dan kedengaran cerek air mendidih di dapur sedangkan tiada siapa yang panaskan air ketika itu,” katanya.