Saya pun dilahirkan tak cukup bulan - Dayana Roza - Utusan Malaysia

Saya pun dilahirkan tak cukup bulan – Dayana Roza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Berkongsi berita gembira mengenai kelahiran puteri sulungnya pada tanggal 20 Julai lalu, pelakon, Dayana Roza mendedahkan anaknya itu dilahirkan secara pramatang atau tidak cukup bulan.

Menurut Dayana atau nama sebenarnya, Nur Dayana Kamsun Baharin, kelahiran pramatang bagaimanapun bukan suatu perkara yang asing dalam susur galur keluarganya.

“Jika dikira, sepatutnya saya bersalin pada bulan depan. Tetapi, sebaliknya pula yang berlaku dan saya selamat melahirkan Astrid Raheeya pada tarikh tersebut pada pukul 11 malam.

“Alhamdulillah, keadaan serta kesihatan saya dan anak semuanya okey. Anak saya dilahirkan dengan berat 2.4 kilogram dan keadaan semuanya terkawal.

“Sebenarnya, kelahiran pramatang ini bukan kali pertama berlaku dalam keluarga saya. Dulu pun, kata ibu, saya juga dilahirkan tidak cukup bulan. Begitu juga dengan adik saya yang juga pernah melahirkan anak secara pramatang,”katanya.

Semalam, Dayana juga ada berkongsi sekeping gambar anaknya Astrid di akaun Instagram sebagai tanda pengenalan buat pengikut dan peminatnya di platform tersebut.

Selain itu, kata isteri kepada A’dale Adham Ayahudin ini sempat berkongsi momen lucu di mana sewaktu siang sebelum melahirkan, dia benar-benar sedang menikmati juadah hari raya.

“Kebetulan hari Astrid dilahirkan itu kita semua sedang meraikan hari raya Aidiladha. Saya makan macam-macam makanan raya termasuk lemang dan rendang. Petang sebelum dimasukkan ke hospital, saya sebenarnya ada mengalami pendarahan.

“Tetapi mujurlah ia tidak teruk sangat. Saya risau juga bila pendarahan itu berlaku sehingga ke malam,bimbang jika terjadi apa-apa.

“Tetapi Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan dan baik-baik sahaja,”katanya.

Dalam pada itu, menurut pelakon ini lagi, semasa hamil, dirinya berdepan dengan situasi di mana emosinya sering tidak stabil.

“Saya akui agak stres sewaktu hamil. Tak pasti apakah ia ada kaitan dengan situasi semasa COVID-19 atau perkara lain.

“Saya mula fikir bukan bukan ketika itu. Sekarang saya nak berehat betul-betul dan beri tumpuan penuh dekat anak. Mujur juga emosi itu tidak terbawa-bawa sehingga selepas bersalin,”katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pemilihan nama anaknya, kata Dayana, Astrid Raheeya memiliki makna tersendiri yang dipersetujui bersama suaminya.

“Astrid itu membawa maksud keindahan dan kekuatan manakala Raheeya pula diambil daripada nama arwah ibu suami saya. Cuma ejaan asal arwah ibu mentua dieja Rahiya.

“Tapi saya ubah ejaannya kepada Raheeya dan ia membawa maksud setia serta penyayang,” katanya.

Dayana dan A’dale bernikah pada 25 Disember tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya