RINDU. Itu dipendam pelakon manis, Puteri Aishah yang saling berjauhan dengan ibu serta ahli keluarga tersayang akibat pandemik yang masih tidak berkesudahan.
Kerinduan itu baginya satu keperitan. Dahulu, pertemuan itulah penawarnya. Tapi, saat ini, hanya doa yang mampu dia titipkan dari kejauhan.
Mungkin inilah yang kebanyakan daripada kita juga rasakan. Sungguh, perpisahan itu cukup menyakitkan. Ibarat satu keterpaksaan tidak kita relakan.
Seorang Puteri Aishah Sulaiman tidak mampu menidakkan kekesalan. Perpisahan dengan ibu tersayang cukup menyakitkan. Apatah lagi ibunya kini diuji kesakitan akibat barah yang masih memerlukan rawatan.
“Saya tinggal bersendirian di Kuala Lumpur sementara ibu dan adik beradik menetap di Negeri Sembilan. Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ibu selalu datang bermalam di rumah saya kerana dia perlu jalani rawatan di salah sebuah hospital di sini.
“Tetapi sekarang ini sukar. Kerana wabak, mereka tidak lagi bertandang, hanya terus berulang alik dari kampung ke hospital. Untuk keselamatan, itu yang saya mahukan.
“Walaupun agak terkilan, tetapi biarlah berjauhan demi kebaikan. Saya takut, virus tidak dapat kita lihat dengan pandangan. Jadi seeloknya biarlah kami berjauhan,” katanya.
Pelakon berusia 27 tahun ini tidak mampu menutup kesedihan. Katanya, tempoh perpisahan itu terlalu lama sehingga timbul ketidakpastian bilakah dia dan keluarganya akan dipertemukan.
“Sudah beberapa bulan. Sekarang ini hanya panggilan video jadi wadah kami sandarkan rindu. Begitu juga dengan ahli keluarga lain.
“Keadaan ini amat menyedihkan. Sampai bila tidak pasti. Tetapi saya bersyukur kerana ibu sudah pun melengkapkan vaksin dua suntikan.
“Tidak lama lagi saya juga akan lengkapkan suntikan vaksin. Jadi selepas ini saya tidak risau untuk bertemu ibu dan ahli keluarga lain,” katanya lagi.
Tidak campur kerja dan peribadi
Dibawa berbicara tentang kontroversi, Puteri Aishah mengakui itu lumrah bergelar selebriti. Namun jelasnya, dia kurang gemar bercerita tentang hal peribadi.
Sejak awal pembabitan, si cantik manis ini sudah dihimpit cerita-cerita sensasi. Ada yang kurang enak didengari sehingga mampu menghiris naluri.
Namun persediaan awal itu sudah pasti. Puteri bijak menepis cerita-cerita tidak pasti. Adakalanya dia memilih untuk berdiam diri.
“Saya diajar cara berdepan kontroversi sejak awal pembabitan dalam industri. Sedikit sebanyak saya dilatih bagaimana untuk mengendalikan satu-satu situasi.
“Saya jarang ambil peduli perkara remeh. Tetapi dalam beberapa situasi, jika perlu, saya akan beri penjelasan terperinci.
“Kalau boleh, saya tidak mahu campur aduk kerjaya dengan hal peribadi,” katanya lagi.
Syukur, masih terima tawaran
Rata-rata ramai antara kita yang terkesan dengan pandemik yang semakin berpanjangan dan seperti tidak memperlihatkan pengakhiran.
Namun semua atas kita untuk mencorakkan kehidupan. Usaha itukan tangga kejayaan.
Bagi Puteri Aishah, seperti orang lain dia juga dihimpit keadaan. Namun dia memanjatkan kesyukuran kerana masih menerima tawaran mempromosikan kempen dalam media sosial sebagai salah satu punca pendapatan.
Pelakon filem Pulang ini bagaimanapun tidak mahu hanya bersandarkan pada kerja lakonan lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang yang penuh ketidaktentuan, jelasnya, dalam sebulan ada juga beberapa kempen yang dipromosikan. Tetapi tidak banyak seperti dahulu.
“Kerja lakonan juga banyak yang terpaksa dihentikan. Semua gara-gara pandemik yang kekal berlarutan,” katanya.
Dia dalam pada itu ada menyebut tentang usaha untuk memulakan perniagaan. Katanya, semua sudah dalam perancangan namun terpaksa ditangguhkan ekoran penularan wabak Covid-19 yang seakan melumpuhkan rencana..
“Sebelum pandemik, saya sudah merancang untuk mengeluarkan produk makanan ringan. Tetapi prosesnya agak perlahan kerana kilang yang mengalami penutupan.
“Kalau ikutkan saya belum sedia untuk memperkatakan tentang ini memandangkan produknya belum ada lagi. Insya-Allah, beri sedikit masa sahaja lagi,” jelasnya.
Terus kejar impian
Puteri berkata, sebagai pelakon dia senaraikan beberapa keinginan dan meletakkan matlamat sebagai kayu ukur untuk berjaya dalam bidang diceburi.
Katanya, melebarkan sayap ke negara jiran menjadi salah satu keinginan yang diletakkan dalam senarai utama.
“Saya teringin bekerja di Indonesia. Saya percaya dengan ketentuan Allah SWT.
“Jika dapat melebarkan sayap ke sana, saya anggap itu satu rezeki yang telah ditakdirkan,” katanya.
Pada masa sama, Puteri juga menaruh harapan agar satu hari nanti dapat bergandingan dengan pelakon-pelakon hebat seperti Erra Fazira dan Lisa Surihani.
“Saya ikuti mereka sejak dibangku sekolah lagi. Jadi, kalau dapat berlakon bersama itu satu kepuasan buat saya.
“Saya sedar bukan mudah untuk berlakon bersama nama-nama ini kerana mereka berada pada liga yang tersendiri. Tetapi manalah tahukan, satu hari nanti,” katanya penuh harapan.
Berpijak di bumi nyata
Pernah menolak undangan uji bakat sebuah drama terbitan Netflix, mungkin ada yang beranggapan pelakon ini mensia-siakan satu peluang yang cukup bermakna.
Tetapi Puteri tegas dengan pendiriannya. Dia ingin berpijak di bumi nyata dan merasakan diri perlu bijak menilai sesuatu perkara.
Tambahan pula, watak yang ditawarkan bukan biasa-biasa. Dia merasakan dirinya belum cukup bersedia.
“Saya tolak kerana watak ditawarkan terlalu sukar. Bayangkan, saya perlu melakonkan personaliti yang berbeza dalam satu karakter.
“Ya, saya bertuah kerana tawaran uji bakat itu datang dari satu platform ternama. Tetapi saya tidak menyesal dengan keputusan yang diambil.
“Komitmen untuk menghidupkan watak itu terlalu besar. Saya belum bersedia dan masih perlu mengasah bakat lakonan yang ada,” katanya.
Puteri berkata keputusan diambil tidak dibuat secara saja-saja. Tegasnya, dia sedar tahap kebolehannya dan beranggapan rezeki untuknya belum tiba.
“Saya telah meneliti skrip yang diberikan. Bagi saya tuntutan bagi watak berkenaan terlalu tinggi. Saya tidak sehebat Nabila Huda yang mampu membawa pelbagai watak dalam satu-satu masa.
“Biarlah tawaran itu saya lepaskan dahulu. Saya belum bersedia,” jelasnya.
Jejaka misteri pilihan
Sebelum melayangkan soalan ini, hati kecil penulis sebenarnya tidak pasti. Mahukah dia menjawab pertanyaan ini sedangkan diawal perbualan katanya tidak gemar ‘menjaja’ hal yang terlalu peribadi.
Tetapi ternyata Puteri sedia dengan jawapannya tersendiri yang membuatkan penulis cukup berpuas hati.
Jujur dia katakan dia kini sedang mengenali hati budi jejaka misteri. Tetapi katanya si dia yang didekati bukanlah mereka yang berkecimpung dalam satu industri.
“Ya, saya sedang mengenali seseorang. Perkara ini belum saya ceritakan kepada sesiapa pun lagi sebab tidak ada kena mengena dengan kerjaya yang saya ceburi.
“Tetapi saya tidaklah sembunyikan atau terlalu mendedahkan hubungan kami. Ada juga saya kongsi, cuma mungkin tidak ada yang perasan tentang ini.
“Cukuplah saya katakan bahawa kami, pada peringkat ini masih saling mengenali hati budi. Saya hormati privasinya dan keluarganya begitu juga dia,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Puteri akui tiada desakan untuk mendirikan rumah tangga buat masa ini. Katanya, keluarga memahami bahawa dia masih ingin terus mencari rezeki dan kumpul duit sendiri.
“Tambahan pula, kami masih saling mengenali. Jadi, perancangan untuk berkahwin itu tiada lagi.
“Kami perlukan masa. Saya mahu dia fahami saya, kerjaya dan keluarga saya. Jadi, kami tidak terburu-buru. Tunggulah nanti, bila semuanya okey,” tambahnya.