KUALA LUMPUR : Rezeki melimpah selepas berkahwin, pelakon, Remy Ishak, 40, dan isterinya, Ezza Yusof hari ini terharu menerima hadiah istimewa daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Perkara itu dikongsikan oleh Remy dan Ezza menerusi satu hantaran video ringkas di akaun Instagramnya sebagai tanda menghargai kurniaan perkahwinan tersebut.
“Syukur Alhamdulilah, nak kongsikan sedikit, kami dapat hadiah istimewa daripada Istana Negara. Menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong untuk hadiah ini.
“Didoakan semoga kedua-duanya diberi kesejahteraan oleh Allah SWT sehingga ke akhir nanti, InsyaAllah, “katanya.
Selain itu, Remy juga ada meninggalkan coretan di ruangan kapsyen video tersebut.
“Patik dan isteri merafak sembah menjunjung kasih KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa.
“Juga KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah atas anugerah perkahwinan dari Istana kepada kami berdua.
“Kami mendoakan kesejahteraan dunia dan akhirat serta limpah kurnia Allah SWT buat Tuanku dan Tunku,”katanya.
Menerusi perkongsian itu, Remy dan Ezza juga dihujani dengan ucapan tahniah oleh para pengikut dan peminat di media sosial.
Remy dan Ezza melangsungkan pernikahan pada tanggal 21 Ogos 2021 dalam suasana tertutup di Masjid Negara.
Pasangan ini dinikahkan dan diwalikan oleh abang kandung Ezza, iaitu Rozman Yusof.