KUALA LUMPUR : Teringat dengan kenangan lalu, penyanyi bergelar Ratu Rock tanah air, Ella Aminuddin, 56, berkongsi memori manis ketika mengadakan konsert di Jepun pada tahun 1990 yang kebetulan menyaksikan perlawanan badminton bagi merebut piala Thomas berlangsung dalam masa yang sama.
Menurut Ella atau nama sebenarnya, Nor Zila Aminuddin, di era tersebut, nama anak-anak Sidek cukup terkenal di Jepun dan diseluruh dunia sebagai wakil negara yang hebat dalam sukan badminton.
“Ramai yang Ella jumpa di Tokyo, kagum dengan azam dan semangat yang ditunjukkan mereka. Atas faktor kegemilangan nama anak-anak Sidek itu jugalah, maka ramai mereka yang datang menonton konsert Ella di sana.
“Pada tahun 1993, Ella sekali lagi ke sana untuk mengadakan lima buah konsert di tiga kota di Jepun dengan antaranya di Tokyo dan Osaka.
“Malaysia baru saja menang Piala Thomas pada tahun 1992. Tahun itu nama Misbun, Rashid, Razif dan Jalani selalu meniti di bibir orang Jepun bila mereka berkomunikasi dengan Ella,” katanya dalam satu hantaran di akaun Instagram.
Selain itu, menurut penyanyi rock ini, dia tidak menolak, apabila mendengar ramai memuji negara sendiri ketika sedang berada di perantauan, menyebabkan dirinya tersentuh dan berbangga dalam masa yang sama.
“Bila kita sedang bertugas atau berjuang di rantauan, dengar saja pujian dan kata-kata hormat mereka tentang rakan senegara, itu adalah satu nikmat dan perkara yang amat membanggakan.
“Dan syukur Alhamdulillah, lima konsert Ella di tiga buah kota besar tadi itu semuanya penuh dengan mat-mat rock Jepun yang datang.
“Seronok sangat masa itu. Satu memori indah bila dapat beraksi di pentas bersama pemain gitar terkenal, Kyoji Yamamoto dan bandnya, BowWow.
“Ella juga terinspirasi dengan perjuangan Haji Sidek dalam mendidik anak-anaknya. Tekad, bulat semangat dan sampai jadi. Legenda dunia,”katanya.
Dalam pada itu, penyanyi ini turut mengucapkan kata tahniah kepada semua anak-anak Sidek yang baginya masih menjadi inspirasi ramai anak muda sehingga kini.
Perkongsian Ella tersebut mendapat pelbagai respons daripada pengikut dan peminatnya di media sosial.
Tidak cuma itu, rakan selebriti lain juga turut meninggalkan komen di ruangan tersebut dengan antaranya ialah Siti Elizad Sharifuddin, Fara Fauzana, Emylia Rosnaida dan jurugaya terkenal, Tym Fatimah.