Putus cinta, Daiyan Trisha jawab tentang Aedy Ashraf - Utusan Malaysia

Putus cinta, Daiyan Trisha jawab tentang Aedy Ashraf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Mengaku baru sahaja putus cinta dengan seseorang sekitar sebulan yang lalu, penyanyi dan pelakon cantik, Daiyan Trisha, 28, bagaimanapun tidak melihat Aedy Ashraf sebagai potensi teman lelaki baharunya meski sedar kalangan peminat cuba mendekatkan mereka.

Menurut Daiyan, memandangkan perkara itu baharu sahaja berlaku dan masih berbekas di hati, soal untuk mencari kekasih baru bukanlah fokusnya sekarang.

“Semua orang tahu Aedy dan saya berkawan rapat dan perkara itu berlaku sejak kami bersama-sama digandingkan dalam drama bersiri Projek Anchor SPM. Bukan sahaja dia, kami dengan barisan pelakon lain juga sudah seperti satu keluarga.

“Kami selesa berkawan rapat. Jadi untuk saya mencari kekasih baru buat masa sekarang ini, memang tidaklah. Jujurnya saya masih belum bersedia untuk menjalin mana-mana hubungan cinta yang baru,”katanya.

Daiyan berkata demikian semasa ditemui dalam sidang media secara virtual bagi mempromosikan single terbarunya berjudul Penat yang mendapat kerjasama Warner Music Malaysia hari ini.

Selain itu, menurut Daiyan, dia yang mengaku menulis lagu Penat berdasarkan pengalaman putus cintanya dengan seorang jejaka, bagaimanapun selesa membiarkan peminat dan pendengar berteka-teki siapakah bekas teman lelakinya itu.

“Sebagai seorang pengkarya, rasanya lebih baik saya biarkan perkara ini kepada semua pendengar untuk menilai dan mencari. Saya tak mahu beritahu siapakah dia lelaki tersebut.

“Ada saya berikan petanda-petanda menerusi lagu itu, tetapi kalau siapa yang dapat tahu, maka tahulah. Namun saya nak bercerita lanjut mengenainya, tidak.

“Cukuplah orang tahu bahawa lagu itu memang ditulis untuk lelaki tersebut yang telah mematahkan hati saya ini,”katanya.

Dalam pada itu, kata Daiyan, dia juga yakin ramai pendengar boleh berasa terkait dengan Penat kerana ia menyingkap pelbagai emosi yang dirasakan semua terutama dalam waktu sekarang.

Katanya, situasi pandemik juga merupakan satu daripada faktor dia menulis dan menghasilkan lagu tersebut yang dirasakan begitu dekat di hati.

“Ramai boleh kait dan rasa dengan lagu ini sebab ia berkaitan emosi dan perasaan yang kita semua rasakan sekarang. Semua orang sudah penat.

“Umpama kita berada di lautan yang sama, tetapi kapalnya sahaja yang berbeza-beza dalam erti kata lain, masalah dan tekanan yang dihadapi mungkin tak sama. Saya harap pendengar dan peminat menyokong saya melalui lagu ini dan jangan terus patah semangat,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya