KUALA LUMPUR: Pelakon, Farisha Irwayu mendedahkan bapa dan adiknya positif Covid-19 dan sedang menerima rawatan di hospital.
Menurut pelakon itu, bapanya Ghali Hassan yang sudah lengkap dua dos vaksinasi dimasukkan ke Hospital Machang, Kelantan dan adiknya, Izanie di Hospital Kluang, Johor.
“Hanya sempat video call saja. Sedih hiba bila dapat tahu ayah dimasukkan ke hospital disebabkan Covid-19 tahap empat. Dari unit rawatan rapi (ICU) ke wad biasa Alhamdulillah.
“Ayah sudah lengkap dua dos vaksinasi tapi masih juga kena tahap empat. Kalau tidak lengkap vaksinasi tidak tahulah apa jadi pada ayah. Ayah ada penyakit jantung kencing manis dan penyakit kronik yang lain.
“Allahuakbar syukur kuat semangat ayah, hanya dengan pertolongan Allah SWT. Semoga Allah terus beri ayah kekuatan untuk terus kekal sihat sepanjang 10 hari di kuarantin. Harap tidak berlarutan dan kembali bersama keluarga tercinta seperti biasa,” coret Farisha.
Jelas Farisha lagi, adiknya sudah ditidurkan kerana paras kandungan oksigen dalam badan barada di bawah bacaan 80 peratus.
“Sekarang masih tidak sedarkan diri setelah ditidurkan. Semoga Allah beri adik kami Izanie peluang untuk hidup dan kembali ke pangkuan keluarga secepat mungkin.
“Mohon doa semua sudilah mendoakan supaya ayah dan adik tersayang kami serta semua yang terkena wabak kembali sihat seperti sedia kala.
“Semoga doa-doa yang baik kembali kepada anda semua yang mendoakan,” akhirinya.
Terdahulu pelakon itu sendiri pernah dijangkiti wabak tersebut pada 19 April dan sudah sembuh sepenuhnya selepas 10 hari menjalani kuarantin kendiri di Pusat Kuarantin MAEPS, Serdang.