KUALA LUMPUR: Penyanyi, Faizal Tahir dikecam hebat oleh netizen berhubung ciapannya yang menegur seorang individu dipercayai bercakap negatif terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Penyanyi lagu Negaraku dan Digarhayu itu, berkata, jika tiada perkataan yang manis untuk disuarakan sebaiknya mendiamkan diri saja adalah lebih baik.
“Ini bukan seperti mana didikan Baginda Muhammad SAW kita. Ini juga bukan karakter seorang yang beragama Islam. Hanya pengecut saja yang tidak mendedahkan diri mereka sementara melempar batu,” ciapnya.
Menjengah ruangan komen, majoriti pelayar di Twitter tidak berpuas hati dengan kenyataan penyanyi itu.
Kata pengguna Twitter, Faizal seolah-olah tidak melihat realiti kematian dan cara kerajaan mengendalikan negara di kala “dijajah” wabak berbahaya.
Semalam, angka kes jangkitan positif Covid-19 merekodkan sebanyak 20,546 dan 282 kes kematian.