KUALA LUMPUR: Pelakon, Kodi Rasheed bersedia dikecam lagi menerusi lakonannya dalam drama terbaharu, Ali Alia.
Jelas Kodi, dia beranggapan watak jahat yang dihidupkan dalam sesebuah karya itu telah berjaya apabila penonton naik darah.
“Sudah pernah kena, itu kerana watak yang saya bawa menjadi. Mungkin segelintir penonton emosi mereka terbawa-bawa sampai ke luar, sehinggakan di pasar pun ada mak cik yang terus kata saya ini jahat.
“Saya terkejut, tanya juga apa yang sudah saya buat? Jelas mak cik itu, saya jahat dalam cerita berkenaan. Jadi, melalui pengalaman macam itulah membuatkan saya sudah bersedia sekiranya dikecam lagi, Insya-Allah.
“Malah saya juga pernah terima ugutan bunuh dan dimaki. Justeru, saya harap dapat tenang sebagaimana sebelum ini, Insya-Allah,” ujarnya.
Kodi atau nama penuhnya Mohd Zhazmeer bin Mohd Rasheed, 31, berkata demikian pada sidang media Ali Alia, semalam.
Dalam pada itu, Kodi memberitahu bahawa dia menerima tawaran lakonan drama tersebut kerana percayakan kandungan naskhah tersebut mampu menarik perhatian penonton.
“Saya sudah tonton tayangan perdana dan sangat respek dengan Fimie serta Erynne. Suka melihat gandingan mereka berdua. Tahniah buat pengarah kerana telah memilih pelakon yang tepat.
“Saya terima naskhah ini bukan kerana melihat penglibatan orang yang saya kenal dalam set ini. Tetapi disebabkan kandungan naskhah ini sendiri,” katanya.
Selain Kodi, antara barisan pelakon lain yang akan tampil pada setiap hari Isnin hingga Jumaat pukul 6 petang, bermula 24 Ogos 2021 di saluran Astro Prima 105, ialah Rusdi Ramli, Faezah Elai, Jay Iswazir dan ramai lagi.