Baru-baru ini pelakon dan pengacara popular, Neelofa memuat naik perkongsian di Instastory. Dia seperti meluahkan perasaan penat emosi dan mental. Lantas ramai yang tertanya-tanya, eh, jutawan pun boleh penat?
Begini, di kala pendemik ini kita tidak tahu masalah yang dihadapi oleh setiap orang. Di luar mungkin kelihatan bahagia, senang lenang, duit berkepuk-kepuk. Tetapi itu bukan satu jaminan kebahagiaan.
Mungkin ada di antara kita yang tidak mempunyai masalah kewangan, cuma penat dari segi emosi sampai bila pandemik ini akan menjajah dunia? Sampai bila kita akan terkurung dan diikat daripada melakukan banyak perkara.
Apatah lagi dengan pergolakan politik dalam negara, sedikit sebanyak itu menyumbang kepada tekanan sedia ada. Di kala angka kes Covid-19 meninggi, kita berdepan pula dengan polemik politik yang ibarat tiada berkesudahan.
Poklip sendiri memahami apa yang cuba diluahkan Neelofa. Kadang-kadang, Poklip sendiri malas hendak ambil tahu. Culas untuk mengiya atau menidakkan. Kerana apa? Kerana penat untuk berfikir.
Malah, sekarang ini Poklip juga cuba tidak meluangkan terlalu banyak masa dalam media sosial. Namun hakikatnya, kerja sebagai wartawan dunia moden ini tidak membenarkan Poklip untuk berehat hatta sebentar.
Bagi anda yang turut sama merasai kepenatan ini, berehatlah sebentar. Tarik nafas, pejam mata dan tenangkan diri sendiri. Mungkin boleh berehat daripada media sosial untuk seketika.
Bukan mahu ajar untuk tidak ambil tahu, cuma jika terlalu banyak masalah orang lain yang kita harus fikirkan, masalah kita bagaimana pula? Kita akan terbeban dengan emosi dan jiwa sendiri.
Melihat kegembiraan orang lain, keseronokan yang dipaparkan dalam media sosial membuatkan kita mula rasa ‘tersisih’. Hakikatnya, siapa mahu menunjukkan sisi gelap diri sendiri bukan?
Teringat kata-kata seorang teman, masalah terbesar kita adalah kita sibuk memikirkan masalah orang lain. Ini ada benarnya.