MALAYSIA sebenarnya tidak kurang hebatnya berbanding mana-mana negara luar lain jika mengaitkannya dengan kelahiran bakat-bakat seni yang bermutu dan luar biasa.
Cuma adakalanya jika tiada tuah atau tidak mempunyai faktor X, barangkali seseorang pelakon itu perlu menunggu lebih lama lagi untuk naik dalam gelanggang seni yang diceburi.
Namun orang kata, kalau mahu lebih bernasib baik, ceburilah bidang ini bermula dari usia muda. Jika pernah bergelar pelakon cilik misalnya, seseorang artis itu kononnya pasti tidak sukar untuk membina nama dan populariti kerana profil kerjaya sudah terukir sejak kecil.
Tetapi, magis hanya berlaku jika dia benar-benar komited meneruskan kerjaya itu seiring usia. Kalau buat separuh jalan, mungkin lebih elok ucapkan sahaja selamat tinggal.
Pun begitu, benarkah semua mereka yang pernah bergelar pelakon cilik suatu masa dahulu sebenarnya berdepan dengan tekanan jangkaan tinggi daripada orang ramai? Apa nasib mereka?
Bersama Fimie Don,24 dan Erynne Erynna, 25, Jawablah! sajikan temu bual mengenai isu ini.
Sudah penat bekerja dari kecil, pernah tak rasa mahu putus asa sahaja dengan dunia lakonan ini?
Erynne : Tak pernah. Dari dulu sampai sekarang. Ada sela waktu kita faham diri berada di atas dan di bawah. Tetapi janji kita kekal di garisan dan cuba kekalkan bakat yang ada untuk terus diangkat dan digilap. Saya juga percaya pada rezeki Allah SWT. Rezeki tak pernah salah alamat.
Fimie: Saya pernah rasa nak berhenti. Saya ini sudah lama tak ambil tawaran berlakon drama. Memang tak nak. Bunyinya macam ego. Satu tahap saya pernah menangis. Kerja terbaru saya adalah bersama dengan barisan pelakon drama Ali Alia arahan Heykal Hanifah. Jujurnya, kalau bukan kerana pujukan abang Heykal terhadap ‘budak sengal’ ini, saya mungkin tidak akan berlakon lagi. Betullah rezeki tak pernah salah alamat, tak salah rupa bentuknya. Dari situ saya percaya bahawa tak perlu rasa patah semangat dengan kekurangan atau kegagalan kita untuk setahun dua ini sedangkan Allah SWT sudah berikan banyak kelebihan berbelas tahun lalu. Bersyukur sajalah.
Cabaran apabila orang meletakkan jangkaan lebih pada anda kerana mereka anggap pelakon cilik macam anda mesti sudah banyak pengalaman dan tahu apa nak buat dalam persembahan?
Erynne: Itu bukan sesuatu yang membuatkan saya selesa. Saya takut, sebab ternyata memang ramai pelakon lain lebih hebat, lama atau baru. Cabarannya, saya kena terus menekan diri untuk melakukan yang terbaik. Berusaha untuk teruskan perjalanan ini.
Fimie: Jangkaan tinggi itu bagi saya, secara tak sengaja akan terbina dengan sendirinya. Misal kata saya bersemangat buat sesebuah naskah itu dengan dahsyat, kita boleh buat. Tipulah tak rasa risau sebab orang akan cakap macam-macam. Tapi lihat dari sisi pelbagai. Kami sebagai pelakon sudah cuba untuk berikan yang hampir sempurna untuk sebuah naskah. Tak boleh kejar sempurna tapi kami boleh beri yang hampir sempurna. Kalau orang cakap tak sampai,saya tetap bersyukur. Yang penting keikhlasan kami dalam menyampaikan tanggungjawab kerja itu kepada penonton.
Dari segi populariti, perlu lagikah anda rasa untuk dikejar sedangkan nama sudah ada dalam industri?
Erynne: Jujurnya saya tak kejar populariti. Saya berpegang kepada kata-kata seorang artis senior. Katanya, biar orang ingat kita kerana bakat bukan kerana populariti. Sebab bila populariti kita itu sudah tiada, masa kita jatuh, orang akan lupa. Kalau bakat, orang akan ingat selamanya.
Fimie: Soal populariti ini, biasanya menjadi perhatian pihak stesen TV atau produksi. Saya bagi contoh Erynne ini. Jumlah pengikutnya tidak berjuta. Adalah dalam 300,000. Tetapi itu adalah pengikut yang sebenar. Yang mungkin dari kecil memang kenal dan ikuti perkembangan kami sebagai pelakon cilik. Macam abang Heykal ambil saya berlakon, dia melawan arus. Dia perjuangkan nak kami berlakon dalam drama dia kerana bakat kami. Bukan sebab populariti. Nak ambil pelakon popular, boleh saja. Tapi sama tak sentuhannya dengan apa yang pengarah mahu?
Bagaimana anda melihat pelapis pelakon cilik pada zaman sekarang ini?
Erynne: Pada saya menerusi beberapa orang yang saya kenal, mereka ini sangat bagus. Mereka mampu memiliki masa depan yang cerah. Kalau dulu kita ada Fimie Don atau Bell Ngasri misalnya bukan. Sekarang kita ada Balqish dan ramai lagi.
Fimie: Sekarang ramai berpeluang untuk dapat pendedahan, apalagi zaman media sosial. Seorang yang saya sayang dan kagum dengan bakatnya ialah Fitri yang sedang berada dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) kini. Bagi saya dia sangat luar biasa. Ramai juga yang semakin cepat matang sekarang dalam industri dari aspek lakonan dan sebagainya. Cuma pengalaman yang membezakan.