KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali berharap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertimbangkan membuka ruangan komen media sosial bagi tujuan pemantauan perkongsian permasalahan rakyat.
Menurut penyanyi Peluang Kedua itu, pihak KKM seharusnya mengambil peluang menggunakan ruangan landasan sedia ada bagi memudahkan khalayak umum berkomunikasi secara terus jika mempunyai sebarang pertanyaan lanjut.
“Bella cadangkan supaya pihak KKM tidak menutup ruangan komen. Bella faham asbab KKM menutup ruang komen. Kerana ingin mengelakkan perbalahan seterusnya mencetuskan suasana panik di kalangan rakyat.
“Tapi kini hampir dua tahun kita dibelenggu oleh virus Covid-19 ini. Perlu lakukan sesuatu. Anda tidak kesian ke dengan petugas barisan hadapan? Tidak mustahil satu hari nanti kita pun akan dimasukkan ke hospital kemudian doktor terpaksa membuat pilihan sama ada nak sembuhkan kita atau orang lain. Begitulah betapa teruknya keadaan sekarang.
“Bella cadangkan kita gunakan ruangan komen di Facebook, Instagram dan Twitter KKM ini kita jadikan sebagai ruang untuk kita sama-sama bertukar pendapat dan idea bagaimana kita nak mengekang wabak ini. Bukan ruang kita nak menyalahkan sesuatu pihak sahaja,” ciapnya.
Sehubungan itu, Nabila berharap apabila pihak KKM sudah mengaktifkan ruangan komen media sosial mereka nanti, orang ramai dapat menyalurkan informasi yang bernas dan dinasihatkan agar tidak menggunakan bahasa kesat.
“Bella faham ramai yang terkesan, hilang kerja, kehilangan ahli keluarga, rindu nak balik kampung dan sebagainya. Sabar, Insya-Allah semua ini akan berakhir.
“Dunia ibarat sudah terbelah dua ya… Jadi tolonglah jangan memburukkan lagi keadaan. Yang sudah membantu meringankan beban mangsa Covid-19 ini, tidak kisahlah pihak kerajaan, pertubuhan badan bukan kerajaan, perseorangan dan lain-lain. Tahniah Bella ucapkan! Andalah hero!
“Sekarang Bella nak ajak anda semua mula bagi komen-komen yang membina okay. Bagi cadangan yang bernas. Kalau di tempat anda ada kilang dan premis yang tak patuh prosedur operasi standard (SOP), anda tuliskan juga pada ruangan komen itu,” tambahnya.
Mengakhiri cadangan, Bella berharap rakyat dapat bersatu hati dan dia yakin dengan hasil kerjasama itu dapat kembali kepada kehidupan sedia kala.