KUALA LUMPUR: Penyanyi, Amylea Azizan, 35, memohon agar orang ramai dapat memanjatkan doa buat bapanya yang kini sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) sejak 30 Julai lalu.
Menurut penyanyi Kendati dan Tak Pernah Hilang itu, kondisi kesihatan bapanya, Azizan Zainal Abidin, 62, semakin menurun dan peluang untuk sembuh tipis.
“Kesihatan ayah makin menurun hari ini. Doktor sudah panggil mama untuk bercakap tentang apa yang dijangkakan.
“Peluang untuk dia (bapa) baik itu tipis dan sekarang hanya keajaiban saja. Saya terdiam.
“Mohon semua mendoakan, sedekahkan bacaan yassin untuknya (bapa). Kepada yang mengenalinya maafkan ayah saya sekiranya ada dosanya dengan kalian,” ujar penyanyi itu di Instagram sebentar tadi.
Sebagai informasi, bapa Amylea menghidap sakit jantung sejak dua tahun lalu dan tahap kesihatannya mula merosot selepas demam akibat jangkitan kuman sekitar bulan Julai.
Kemudiannya, bapa didaftarkan ke IJN selepas berjaya menerima sumbangan ramai bagi mengumpul deposit.