KUALA LUMPUR : Pelawak dan anggota kumpulan Senario, Lan Pet Pet, 53, menyimpan hasrat untuk menyertai pertandingan Asia Got Talent (AGT) suatu hari nanti, sebelum dia menutup mata.
Menurut Lan, impian itu sudah lama tersemat dalam hatinya namun menyedari masih banyak usaha yang perlu dilakukan terutama dalam memperbaiki kelemahan berbahasa Inggeris dengan baik.
“Sebelum saya mati, teringin nak masuk AGT. Lama dah saya angan-angankan. Tapi saya ini tak pandai berbahasa Inggeris dengan baik. Nak masuk pertandingan bertaraf antarabangsa, kenalah cakap orang putih dengan teratur.
“Maklumlah, saya ini sekolah tak berapa tinggi. Tapi ini adalah impian saya. Sebab itulah kebelakangan ini saya cuba perbaiki kelemahan ini. Biarlah dengar tak berapa pandai lagi, tapi lama-lama boleh pandai,”katanya.
Lan berkata demikian semasa ditemui media di hadapan Kompleks Mahkamah Shah Alam, semalam.
Ditanya apakah bakat yang ingin ditonjolkan oleh Lan untuk menyertai pertandingan tersebut, pelawak dengan nama sebenar Mazlan Ahmad ini mengaku sudah merangka beberapa jalan cerita dalam persembahannya.
“Persembahan saya akan berbentuk penceritaan jenaka. Bakat yang ada selama ini akan saya perbaiki dan asah lagi dengan lebih baik.
“Adalah beberapa jalan cerita yang saya dah fikirkan. Doakan saya dapat masuk pertandingan itu ya,”katanya yang terkenal dengan gimik meniru aksi peniup terompet.
Dalam pada itu, Lan mengaku tidak tertumpu pada bidang seni semata-mata sebagai sumber pendapatan dan bersyukur kerana bidang baharu yang diceburi mampu menampung kehidupannya dan keluarga sekurang-kurangnya pada waktu pandemik ini.
Katanya selain menjalankan perniagaan belacan secara kecil-kecilan, dia juga menyarung gelaran Pegawai Khas Guaman dan berkhidmat di bawah firma guaman milik Datuk Dr. Aswandi Mohamed Hashim.
“Saya mula berjinak-jinak dengan kerjaya baharu ini sejak Januari lalu tetapi ketika itu dalam tempoh percubaan. Alhamdulillah, saya sudah mendapat lantikan rasmi bermula 1 Ogos lalu dengan kontrak selama setahun.
“Selain itu, saya bersama rakan perniagaan, Aqmal Hamymy Mohd Soleh ada menjalankan bisnes ubat untuk kaum adam di bawah jenama Don Valentino,”katanya.