KUALA LUMPUR : Sempena penganjuran Sukan Olimpik 2020, kumpulan Margasatwa menghasilkan sebuah lagu dalam versi bahasa Jepun sebagai tanda penghormatan kepada pasukan yang mewakili negara ke Tokyo, Jepun untuk mengharumkan Malaysia.
Menurut wakil kumpulan, Kimal, Margasatwa berkolaborasi dengan sebuah pusat pembelajaran Jepun, CakapJepun.com yang ditubuhkan oleh anak tempatan bagi menghasilkan lagu berjudul Yang Asli.
“Kami bukan sekadar nak tujukan pada atlet Malaysia yang tengah berjuang,tapi untuk semua rakyat Malaysia yang sekarang tengah berdepan dengan pelbagai cabaran.
“Saya telah olah lirik asal supaya lebih tepat dengan tema semangat Olimpik. Terjemahan ke dalam Bahasa Jepun oleh Izzat Sensei dari CakapJepun.com memberikan makna yang lebih mendalam.
“Apa pun, kita seharusnya bangga dan memberi sokongan penuh kepada pencapaian atlet negara pada Temasya Sukan Olimpik, sewaktu menang ataupun kalah kerana mereka telah berjuang dan melakukan yang terbaik demi Malaysia.”katanya yang merupakan seorang graduan dari Tokai University, Jepun.
Berkongsi mengenai lagu tersebut, kata Kimal, Yang Asli mempunyai intro bunyi muzik melayu dan anime,mengimbau zaman animasi dan drama adiwira Gaban dan Kesatria Baja Hitam.
“Ini juga sebuah hiburan berbentuk pelajaran Bahasa Jepun. Para pendengar boleh merujuk kepada sarikata pada video di Youtube untuk belajar sedikit sebanyak Bahasa Jepun dan terjemahan dalam Bahasa Melayu.”katanya.
Dalam pada itu, kata Ikmal,kolaborasi ini adalah yang pertama kali dilakukan dan mendapat perhatian ramai pendengar muzik dan penikmat Sukan Olimpik dari negara Malaysia dan Jepun.
“Ini merupakan sebuah inisiatif yang baik untuk mengukuhkan hubungan dua negara serta rakyatnya,”katanya.