PETALING JAYA: Pelakon muda, Mohd Izuan Fitri kini berada di Hospital Selayang untuk menerima rawatan lanjut akibat penyakit tibi atau batuk kering.
Menerusi satu ciapan Twitter yang tular semalam, pelakon filem Crossroads: One Two Jaga itu dimaklumkan sedang menjalani rawatan dan pihak keluarga masih dalam perbincangan untuk prosedur pembedahan.
Menerusi satu tangkap layar di ciapan Twitter itu juga, kuman tibi yang berada dalam badan pelakon itu telah menyerang organ dalaman termasuk otak dan paru-paru.
“Kuman tibi banyak dalam badan si adik, buang air besar berdarah kerana tibi dalam usus. Paru-paru sebelah kiri juga ada tibi buat sarang serta di otak pun ada.
“Tadi dia menjalani CT-scan untuk diberikan kepada pakar otak, kini tengah berbincang sama ada pembedahan boleh tolong si adik atau tidak.
“Jika pakar otak kata pembedahan tidak boleh tolong, doktor akan teruskan ubat tibi sahaja sampai dia sedar. Tetapi doktor tidak tahu bila adik akan sedar, tiada jaminan,” memetik kata Adik Ainn menerusi tangkap layar itu.
Dalam pada itu, di entri Facebok ibu Izuan, Nor Abdul Rani, dia meluahkan rasa sedih dan berdoa agar anaknya kembali sembuh seperti sedia kala.
“Hadirkan aku Ya Allah di setiap ingatannya. Hadirkan aku disetiap kedukaan dan kegembiraannya.
“Ya Allah, kau kurniakanlah kesembuhan buat anakku. Kau bangunkanlah anakku, Ya Allah!” tulisnya bernada pilu di Facebook.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata warganet menitipkan doa buat Izuan agar dapat sedar dengan segera dan diberikan kesihatan yang baik seperti dahulu.