KUALA LUMPUR : Penyanyi popular dan perangkul Anugerah Grammy, Billie Eilish, 20, bakal membuat kemunculan pertama kalinya menerusi konsert Happier than Ever : A Love Letter to Los Angeles yang akan disiarkan di seluruh dunia di Disney+ Hotstar pada 3 September ini.
Diarahkan oleh Robert Rodriguez dan pemenang Anugerah Oscar, Patrick Osborne, konsert istimewa ini juga akan menampilkan elemen animasi, membawa penonton ke sebuah pengalaman bagai mimpi yang berlatar belakangkan bandar Los Angeles, tempat kelahiran penyanyi ini.
Konsert Happier than Ever : A Love Letter to Los Angeles ini juga akan menampilkan FINNEAS, kumpulan koir kanak-kanak Los Angeles, pemuzik daripada Filharmonik Los Angeles kendalian Gustavo Dudamel, gitaris terkenal dunia, Romero Lubambo dan orkestra yang dipimpin oleh David Campbell.
Konsert ini diterbitkan oleh Interscope Films dan Darkroom Productions dengan kerjasama Nexus Studios dan Aron Levine Productions bersama Kerry Asmussen sebagai Pengarah Konsert Siaran Langsung dan Pablo Berron sebagai Pengarah Fotografi.
Billie menghasilkan album terbarunya ini bersama abangnya FINNEAS yang juga merupakan penerbit album ini.
Album ini berjaya meraih tangga pertama dalam carta muzik di 19 buah negara dengan kedudukan yang sama sepanjang tiga minggu berturut-turut di Amerika Syarikat.
Terdahulu, menerusi album When We All Fall Asleep, Where Do We Go? Berjaya juga meraih tangga pertama di carta Billboard 200 di Amerika Syarikat termasuk di 17 buah negara lain semasa ia dilancarkan pada tahun 2019.
Billie juga diangkat sebagai artis termuda yang menerima banyak nominasi dan meraih kemenangan dalam kategori utama di majlis Anugerah Grammy ke-62.
Terbaru, penyanyi ini membawa pulang anugerah Rekod Terbaik 2020 untuk lagu Everything I Wanted dan Lagu Terbaik Media Visual menerusi lagu No Time To Die di majlis Anugerah Grammy ke-63.