KUALA LUMPUR: Pelawak, Tauke (Jambu) atau Zamatul Amri Zakaria, mengaku ditahan oleh pihak berkuasa bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan seks, baru-baru ini.
Pelawak berusia 45 tahun itu membuat pengakuan tersebut menerusi akaun Instagram Story miliknya yang diulang siar isterinya, Nadia Mohd Effendi, petang Sabtu.
“Kepada yang tidak puas hati, memang aku ditahan untuk bantu siasatan dan aku telah pun memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
“Bukan jadi bapa ayam atau pengedar, tiada kaitan aktiviti tersebut,” ujarnya.
Terdahulu, pelawak itu menafikan dia adalah pelawak terkenal ditahan polis Ahad lalu kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan pemerdagangan manusia untuk tujuan eksploitasi seks di sebuah hotel di Kuala Pilah.
Ketua Polis daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani memaklumkan, pelawak berkenaan, seorang lelaki berusia lingkungan 40-an ditahan ketika Ops Pintas dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Daerah sekitar pukul 10 pagi.
Dalam serbuan itu, polis merampas sebuah kereta Perodua Axia, beberapa bungkus kondom, sejumlah wang tunai dan empat telefon pintar.