Poklip pernah menemu bual pelakon tinggi lampai ini. Hasil hampir satu jam sesi temu bual itu, Poklip hanya faham 60 peratus sahaja apa yang dia cakap. Dia lebih banyak bergurau dan gelak sendiri.
Ingatkan Poklip sahaja berfikiran begitu, rupanya ada juga rakan media yang kurang senang dengan sikap acuh tak acuh pelakon itu ketika ditemu bual. Dia buat lawak hambar, lepas itu gelak sendiri. Apo!
Poklip perasan juga, ada segelintir warganet yang juga merasakan pelakon ini lebih syok sendiri. Sudahlah selalu buat kandungan media sosial merepek, perangai kebudak-budakkan itu juga agak menjelikkan.
Rasanya, dia boleh mula mengkaji bagaimana seorang bintang berhadapan sesi temu bual dan pembawaan diri. Bukan apa, sayang sebab dia masih baharu dan punya masa depan yang cerah dalam industri.
Tetapi jika masih kekal dengan sikap over the top itu, risau nanti orang akan perlahan-lahan lari. Memanglah awak masih muda dan happy go lucky, cuma kalau boleh kawallah sikit ya.
Kita bukan sedang rekod video TikTok yang awak boleh melompat, terkinja-kinja. Cuba suntik sikap profesional dan serius apabila berada dalam situasi rasmi. Jangan main hentam semua boleh buat gurau tau!