Hampas kelapa jangan dibuang. Ia boleh dijadikan bahan untuk mencuci siput sedut sebelum dimasak.
Ikuti tips oleh Siti Musalnur Ayu Muhamad mengenai kaedah membersihkan siput sedut yang betul.
Katanya kaedah itu boleh menyedapkan lagi sajian ingin disediakan. Tiada lagi rasa masin berpasir tetapi berganti lemak dan manis.
Kaedah membersihkan siput sedut
Hampas kelapa dan buah limau boleh membersihkan siput sedut. Kaedah yang betul mengelakkan sajian berbau. Berikut kaedah boleh diikuti:
* Masukkan siput sedut yang telah dibilas dengan air ke dalam sebuah bekas. Selepas itu masukkan hampas kelapa.
* Gaul hampas kelapa pada siput sehingga rata dan meliputi ke semua siput tadi. Biar semalaman. Boleh juga dibiarkan selama dua jam. Basuh siput tadi sehingga bersih dan sedia untuk dipotong. Ia akan menghilangkan bau lumpur.
* Jika anda membeli sehari sebelum dimasak, letak siput sedut dalam baldi. Kemudian taburkan hampas kelapa. Pastikan permukaan baldi ditutup dengan tapis dan tindih dengan benda berat seperti lesung batu untuk mengelakkan siput keluar merayap serata dapur.
* Cara lain untuk membersihkan siput sedut adalah dengan merendam siput di dalam air hirisan limau atau lemon yang telah ditambah garam. Rendam dalam masa 10 minit. Selepas itu bilas dengan air paip.
Resipi siput sedut masak lemak cili api:
Bahan-bahan:
2 pek / 2 kilogram (kg) siput sedut
1 setengah biji kelapa – dijadikan santan
1 hingga 2 batang serai – diketuk
1 keping asam keping
1 helai daun kunyit – hiris halus
1 sudu besar garam kasar
20 hingga 25 tangkai cili api kampung *
1 inci kunyit hidup *
Nota : Kisar bahan-bahan bertanda (*)
Cara penyediaan:
1-Basuh siput sehingga bersih, menggunakan berus. Bilas empat hingga 5 kali sehingga betul-betul bersih airnya.
2-Rendam dalam air garam seketika. Tos dan potong bahagian bucu siput pada ruas ke tiga dari atas dengan menggunakan pemotong.
3-Masukkan siput yang siap dipotong tadi ke dalam besen dan tuang air hingga siput tenggelam. Ambil dengan tangan, toskan dan masukkan ke dalam tapis. Tujuan buat macam ini, untuk mengelakkan serpihan kulit siput ikut masuk dalam masakan kita.
4-Masukkan bahan kisar bersama serai ke dalam kuali dan masak sehingga cili agak kering.
5-Masukkan santan cair dan sentiasa dikacau supaya santan tidak pecah minyak.
6-Masukkan siput yang telah dibersihkan, kacau lagi sehingga kuah mendidih dan siput masak.
7-Masukkan santan pekat, garam dan asam keping. Kacau menggunakan api perlahan sehingga kuah mendidih kecil dan tiada buih-buih dalam kuah.
8-Akhir sekali, masukkan daun kunyit dan sesuaikan rasa. Bolehlah ditutup api. Siap!
Terima kasih : Siti Musalnur Ayu binti Muhamad
Facebook : Nura Yee/ https://www.facebook.com/ctnur.ayu.3