“Ambil jika perlu, beri jika mampu”. Demikian motto Food Bank Al-Mursyidin di Masjid al-Mursyidin di Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Proton City, Tanjung Malim, Perak.
Pengarah Pusat Islam, Muhammad Tarmizi Abd. Rahman berkata, pusat berkenaan mengambil inisiatif memperuntukkan satu ruangan khas yang dikenali sebagai Food Bank Al-Mursyidin.
Katanya, usaha menjadikan masjid sebagai pusat tumpuan warga universiti dengan pelbagai aktiviti terutama Food Bank ini bakal memberi manfaat kepada seluruh warga universiti dan penduduk sekitar kampus yang mengunjungi Masjid al-Mursyidin.
“Food Bank ini dilaksanakan hasil persetujuan pihak Bendahari dan pusat-pusat tanggungjawab yang terdiri daripada Pusat Islam, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni dan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dan ia ditempatkan di beberapa lokasi tumpuan sekitar kampus.
“Usaha itu adalah rentetan kemelut pandemik Covid-19 yang sedang dihadapi masyarakat awam pada masa kini,” katanya dalam sesi pelancaran Food Bank itu baru-baru ini.
Sesi pelancaran itu disempurnakan oleh Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman dalam majlis ringkas yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Muhammad Tarmizi berkata, dana Food Bank diperolehi sebahagiannya daripadal sumbangan ikhlas kakitangan UPSI yang membuat potongan gaji.
“Peruntukan yang disalurkan ini, digunakan untuk membeli keperluan harian berbentuk barangan makanan,” katanya.
Sementara itu, Helmi Zaifura dalam ucapannya berharap, projek itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka yang terkesan dari sudut kewangan selain memberi peluang warga UPSI melakukan amal jariah sebagai tanda keprihatinan kepada masyarakat awam.
“Langkah yang diambil oleh Pusat Islam sangat baik dan proaktif dalam membantu masyarakat serta warga UPSI termasuk mahasiswa berikutan suasana penularan Covid-19 yang tidak menentu,” katanya.