JAKARTA: Kumpulan semakin meningkat naik, Duo Biduan yang dianggotai Kiki Syarah dan Elsatya Marcelina kembali mewarnai industri muzik Indonesia dengan sebuah lagu terbaharu berjudul Goodbye Sayang.
Memetik laporan portal Liputan6, lagu ciptaan Don Kinol itu menceritakan tentang seorang wanita yang berputus asa dalam hubungan percintaan dan memilih untuk meninggalkan kekasihnya.
Mengetengahkan konsep remixdut yang semakin popular, Kiki berkata bahawa dia dan Elsatya bersetuju bahawa lagu ini adalah yang paling digemari berbanding lagu-lagu yang pernah mereka bawakan sebelum ini.
“Liriknya kami tujukan untuk mereka yang bercinta. Pasti ramai di luar sana yang pernah mengalami seperti apa yang diceritakan dalam lagu ini.
“Susunan (lagu) ini juga mengasyikkan, sesuai dijadikan cover dance,” ujarnya.
Tambah Kiki lagi, lagu Goodbye Sayang ini tidak banyak bezanya dengan lagu-lagu yang pernah dibawakan kumpulan ini. Namun, nota muzik yang unik menjadikannya lebih istimewa dan lebih ‘merakyat’.
“Keistimewaannya adalah pada bahagian tengah lagu ini yang kedengaran ‘mewah’ tetapi masih ‘merakyat’. Insya-Allah, sesuai untuk semua pendengar,” tambahnya.
Goodbye Sayang menjadi percaturan yang berjaya menyerlahkan perbezaan ‘watak’ kedua-dua penyanyi ini. Keunikan vokal Kiki dan Elsatya nyata jelas kedengaran dalam lagu tersebut.
Dalam pada itu, Kiki mengakui bukan mudah untuk menyanyikan lagu dangdut ini lebih-lebih lagi pada bahagian-bahagian tertentu yang memerlukan tenaga suara bernada tinggi.
“Lagu ini cukup mencabar untuk dinyanyikan kerana adanya nota-nota tinggi yang mencabar keupayaan vokal. Tetapi setakat ini, okay.
“Kami juga telah menyusun gerak tari yang istimewa untuk lagu ini. Gerakan yang mudah diikuti dan dihafal,” katanya lagi.