KITA ketepikan dahulu soal siapa entiti dalam kalangan warga industri yang tergolong dalam kategori anti-vaksin atau pun tidak.
Apa yang pasti, sekiranya mana-mana penggiat seni dan pekerja kreatif mahu kembali menggalas kerjaya dan menggunakan tenaga untuk membangkitkan industri yang lesu seketika kini, sila pastikan diri sudah divaksin.
Sekurang-kurangnya itu adalah syarat utama yang digariskan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada minggu lalu sebagai respons bahawa kerajaan mendengar suara dan keluhan pekerja industri seni yang mahu agar sektor penggambaran dibuka semula.
Cuma ada tetapinya. Dalam menghela nafas lega, ramai juga dalam kalangan orang industri menganggap pelaksanaan peraturan itu secara keseluruhannya tidak benar-benar seimbang.
Ia terutama apabila mengambil kira kebenaran itu cuma dibuka kepada mereka yang mempunyai tanggungjawab menerusi pengambaran drama, dokumentari dan iklan yang tertangguh.
Sejauh mana adilnya pelaksanaan ini? Berikut adalah respons pelbagai yang diterima daripada beberapa penggerak industri sendiri.
Bahan kandungan sama, penonton masih bayar – Ayu Puteh
Bagi penerbit dan pemilik syarikat Pencil Pictures & Records Sdn Bhd, Datuk Ayu Puteh, tentunya tiada sebarang pertikaian mengenai syarat mewajibkan semua pekerja kreatif untuk mendapatkan dua dos vaksin sebagaimana yang dimaklumkan.
Namun, pihaknya berasa kecewa kerana kelonggaran syarat kembali bekerja itu bagaimanapun cuma dibuka kepada mereka yang perlu melunaskan baki penggambaran sebelum ini sahaja.
“Idea untuk mewajibkan dua dos vaksin kepada semua pekerja itu sudah bagus. Tapi, syarat selebihnya itu pula bagi saya macam tidak kena dan kelakar pula.
“Sementara tertangguh itu, tahu tak stesen TV ada bahan yang sangat terhad. Balik-balik akan pusing bahan yang sama sahaja membuatkan penonton rasa jemu. Walhal, mereka membayar perkhidmatan saluran TV contohnya di platform Astro, Netflix termasuk internet seperti Unifi dan seumpamanya.
“Kerja yang disambung, bermakna sekurang-kurangnya mereka sudah ada kerja. Tapi bagaimana pula beribu orang industri lagi yang tidak dapat kerja? Apa bezanya buka begini?”katanya.
Selain itu, kata Ayu, dari sisi seorang penerbit, dia sedar banyak syarikat produksi dan petugas di belakang tabir yang terpaksa ‘bungkus’ kerana situasi semasa.
“Macam saya sendiri, sudah hampir setahun tiada ‘job’ penggambaran, kita nak buat kerja apa ya? Kami penerbit-penerbit ini, ada juga hulurkan bantuan kepada kru-kru yang terjejas. Tapi, kalau kami pun tiada kerja, tak ada duit, macam mana nak bantu pekerja?” katanya.
Siapa ingin bekerja dengan aku, perlu vaksin penuh -Michael Ang
Pengarah sensasi, Michael Ang, menyokong penuh prosedur operasi standard (SOP) baharu yang ditetapkan kerajaan iaitu melibatkan semua kru termasuk pelakon perlu melengkapkan dos vaksin untuk meneruskan semula pengambaran.
“Sebenarnya bila kerajaan kata boleh membuat pengambaran, itu adalah satu berita yang bagus.
“Semua yang terlibat dalam set pengambaran termasuk pelakon perlu melengkapkan dos vaksin pun saya setuju, kerana ini adalah satu langkah yang amat baik. Kepada yang tak nak vaksin itu duduk sahaja di rumah,” katanya.
Michael juga menekankan kepada semua yang bekerja di bawahnya wajib melengkapkan dua dos vaksin kerana bimbang ekoran kes harian Covid-19 yang semakin meningkat.
“Siapa yang ingin bekerja dengan aku di set pengambaran, perlu vaksin penuh kerana dalam rumah ada dua orang anak, takkan nak dedahkan diri saya dengan mereka. Nanti bimbang anak saya pula yang terkena virus tersebut.
“Selain itu, jika saya menjalankan pengambaran di satu tempat, saya sewa satu banglo dan mereka duduk sahaja di sana sehingga tamat projek. Saya dah tetapkan perkara tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia memberitahu kini dalam usaha untuk semua kru dibawahnya divaksin dan kebanyakan mereka sedang menunggu dos kedua.
Selanjutnya, pengarah itu turut menegaskan kepada orang ramai agar segerakan pengambilan vaksin dan tidak terpengaruh dengan anti-vaksin.
“Saya berharap rakyat Malaysia agar segerakan vaksin dan tidak perlulah dengar cerita-cerita mengarut oleh golongan anti-vaksin.
“Kalau kita ditakdirkan untuk mati, sama ada anda telah divaksin mahupun tidak, tetap akan mati. Lebih baik berikhtiar,” ulasnya .
Lengkap dua dos vaksinasi – Ghaz yakin bekerja
Sutradara terkenal Ghaz Abu Bakar, 47, menyambut baik saranan kerajaan dan pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berhubung syarat dua dos vaksinasi lengkap untuk aktiviti penggambaran.
Menurutnya, para kru produksi dan pelakon perlu lengkap dua dos vaksinasi terlebih dahulu bagi memastikan aktiviti penggambaran berjalan lancar dan mengikut SOP seperti yang disarankan oleh pihak FINAS.
“Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran semasa aktiviti penggambaran dijalankan, sudah pastinya saya menyambut baik saranan yang dikeluarkan itu. Sekurang-kurangnya kita semua boleh keluar untuk bekerja dengan lebih yakin.
“Sebagai contoh, bila saya tahu semua kru termasuk para pelakon sudah lengkap dua dos vaksinasi secara tidak langsung tahap keyakinan saya untuk bekerja itu lebih meyakinan. Hal itu kerana, saya perlu berinteraksi dengan para pelakon dan kru.
“Jadi perlu untuk saya ada rasa keyakinan itu, sebab selepas aktiviti penggambaran bila pulang ke rumah kita akan berjumpa dengan keluarga. Selagi perkara itu kita tidak pasti dan ragu-ragu, apabila nak berkarya dan fokus pada kerja sedikit sebanyak akan terganggu,” ujarnya.
Tambah Ghaz, dia juga percaya isu syarat dua dos ini tidak akan lama sementara menunggu kes jangkitan menurun.
“Saya juga berharap SOP ini akan ditambah baik lagi dan apabila kes menurun nanti, SOP akan berubah supaya pekerjaan untuk penggambaran akan menjadi lebih mudah,” katanya.
Vaksin dilihat sebagai insurans – Shahrulezad
Pengarah dan penerbit, Shahrulezad Mohameddin menyambut baik SOP ditetapkan kerajaan bagi kebenaran untuk aktiviti penggambaran dilakukan.
Katanya SOP tersebut, lebih-lebih lagi syarat mewajibkan pengambilan dua dos suntikan vaksin Covid-19 bagi tenaga produksi adalah sangat penting untuk membasmi penularan di set penggambaran.
“Pada saya, sekarang ini vaksin perlu dilihat sebagai satu insurans. Ini bermaksud, semua yang terlibat perlu melengkapkan dua dos suntikan vaksin sebelum masuk ke set penggambaran.
“Tambahan pula ketika ini adanya varian Delta yang mengganas dalam komuniti. Dengan pengambilan vaksin lengkap, risiko jangkitan itu mungkin rendah dan kurang menjejaskan,” katanya.
Shahrulezad memberitahu, sebagai pengarah dia amat menitik beratkan keselamatan di set penggambaran memandang impak jangkitan kepada proses penggambaran itu bukan kecil.
“Kerugian yang ditanggung terlalu besar. Kalau ada pelakon yang dijangkiti, penggambaran terpaksa ditangguhkan dan banyak kerugian yang terpaksa kami tanggung.
“Keadaan ini cukup memberi tekanan memandangkan kami juga terikat dengan kontrak dan tarikh akhir yang ditetapkan stesen penyiaran.
“Sebab itu, saya utamakan pengambilan dua dos suntikan vaksin bagi mereka yang akan bekerja dengan saya.
“Sekurang-kurangnya risiko dapat dikurangkan dan kerugian dari segi masa dan kos dapat dielakkan,” katanya lagi.