"Diam lebih baik"- Hun Haqeem - Utusan Malaysia

“Diam lebih baik”- Hun Haqeem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU diterbalikkan angka usia pelakon lelaki ini, kena tepat dengan umur saya. Kalau hendak dibanding kekacakan pula, mungkin saya agak jauh di belakang. Tapi tak mengapa, bukan itu arah tuju artikel ini.

Tetapi ada sesuatu yang membezakan Hun Haqeem dengan kebanyakan artis lelaki lain. Raganya muda di tangga usia 23 tahun tetapi berjiwa matang. Dia bercakap dengan penuh ilmu, tidak bingit seperti tin kosong.

Tetapi ini bukan sesi ‘melambung’, sebaliknya kami berbicara tentang masalah industri. Mungkin remeh pada pandangan segelintir pemain, tetapi bagi Hun, isu pelakon lama dipinggirkan bukan calang-calang.

Melontar buah fikiran, bagi Hun, tidak sepatutnya sesebuah produksi membayar pelakon lama hanya berdasarkan jumlah pengikut dalam media sosial. Apatah lagi, jika seseorang itu punya nama besar dalam industri.

“Isu ini sudah lama diperdebatkan. Mungkin orang anggap, ah… asyik-asyik masalah sama. Tetapi kita kena fikir dari sudut pandang pelakon lama. Cuba letak diri anda dalam situasi mereka, adakah itu adil?

“Saya sendiri tidak kisah berbahagi bayaran dengan mereka. Lebih-lebih jika pelakon itu adalah idola saya. Untuk apa kita memeluk keuntungan seorang diri tetapi dalam pada masa yang sama, mereka berkecil hati?

“Kita sibuk bandingkan industri tempatan dengan Hollywood, tetapi dari segi pembayaran pelakon senior, diam membisu. Jangan usir jauh kredibiliti untuk junjung populariti. Sampai bila,” soalnya.

Mungkin pada penerimaan segelintir pihak, dia masih ‘muda’ untuk berbicara soal itu. Baru dua tahun berlakon, ada hati mahu bikin panas. Tetapi jawab Hun mudah, itu tanggungjawab dia sebagai penggiat seni.

“Isu ini memang subjektif. Semua orang mahu untung. Saya juga. Tetapi pada masa sama, kita kena menghargai bakat-bakat yang penuh ilmu dan pengalaman ini. Popular atau tidak, belakang cerita.

“Dalam keadaan sekarang terutamanya, ada baiknya untuk semua bersikap adil tidak kira muda tua, lama atau baharu. Jangan ukur melihat kepada populariti, tetapi angkatlah bakat dan seninya,” katanya.

Selesa sendiri

Hari ini, sudah hampir setahun dia bergerak sendiri tanpa syarikat pengurusan. Tertanya juga, adakah itu satu keputusan bijak? Sudah ada titik penyesalan dan bersedia untuk diuruskan semula?

Tergelak dia mendengar soalan yang ditanya bertubi-tubi. Namun jujur jawab Hun, dia semakin selesa. Ya, tidak mudah namun jika tidak bersusah, kita tidak tahu apa itu bersenang. Itu kan resmi hidup?

“Alhamdulillah, semuanya terkawal. Saya cuba sedaya dan semampunya untuk menguruskan kerjaya sendiri. Bukan tidak ada yang cuba ‘meminang’, tetapi semuanya masih dalam pertimbangan. Buat masa ini, selesa sendiri.

“Saya pun tidak mahu terlalu tamak. Kena pandai susun jadual. Bila tahu limit dan kemampuan, kita boleh beri 100 peratus komitmen. Saya tidak mahu paksa diri. Tak mahu kerja separuh mati,” katanya.

Menyusun rapi langkah seni, fokus utama pelakon kelahiran Kuching, Sarawak ini adalah untuk membina kredabiliti. Dia tidak mahu dianggap pelakon hanya bersandar rupa dan popular. Dia mahu lebih daripada itu.

“Saya akui, usia dua tahun bergelar pelakon, banyak mana pun pengalaman yang ada. Tetapi itu semua satu proses untuk membina nama. Bukan untuk popular tetapi untuk berjaya sebagai anak seni sejati.

“Apa yang saya impikan, satu saat apabila produser mengamanahkan naskhah mereka, saya mampu beri yang terbaik. Saya tak mahu dapat tawaran kerana popular. Jiwa saya kepada dunia lakonan terlalu tinggi.

“Biarlah tidak popular tetapi orang tahu, saya bukan pelakon asal boleh. Setiap watak ada warna Hun Haqeem sendiri. Itu niat masuk industri dahulu. Mahu cipta nama sebagai pelakon,” katanya.

Pendam, Diam

Memancing Hun ke arah perbualan lebih dalam, bagaimana dia menjalani kehidupan kala pandemik ini. Tiada aktiviti seni dapat dijalankan bermaksud tiada pendapatan juga. Sedikit sebanyak pasti terkesan.

Mengakui dia tidak dapat lari daripada cengkaman emosi ketika pandemik, dia cukup berhati-hati agar jiwanya tidak dirobek sekali lagi. Cukup satu sahaja episod hitam dalam diari seninya, tidak perlu dijadikan drama bersiri.

“Pernah tak rasa seperti ada banyak masalah dunia yang kau nak bualkan, tetapi akhirnya kau pilih untuk diam? Lebih senang untuk pendam sendiri kerana takut dengan penerimaan serta sindiran orang,” soalnya.

Jawab saya, semestinya pernah. Seperti Hun, saya juga memilih untuk tidak terlalu melontar suara terutama dalam media sosial. Kenapa? Antaranya kerana ramai yang merasakan mereka wikipedia bergerak. Jenis manusia ‘palatao’.

“Betul! Sejujurnya, keadaan kita sekarang sangat menyedihkan. Lihat sahaja orang bergaduh sana sini. ‘Dunia tipu-tipu’ ini kejam. Saya sudah mula kurang meluangkan masa dalam media sosial.

“Kadang-kadang, saya hendak meluahkan sesuatu tetapi bila memikir penerimaan orang berbeza-beza, kebimbangan mula tunjuk muka. Takut akan fire back saya. Jadi akhirnya, kita pilih untuk diam.

“Saya cakap dengan diri sendiri, kau pelakon sahaja. Baik fokus jadi pelakon. Diam, jangan cakap apa-apa,” katanya.

Masih Hun Haqeem yang sama

Tidak keterlaluan untuk mengangkat Hun sebagai antara pelapis pelakon lelaki yang akan terus menyinar. Melihatkan warna kanvas seninya setakat ini, dia seharusnya berbangga. Tapi jauh lagi perjalanannya.

Berbicara tentang kerjaya, Hun bakal muncul dengan drama bersiri, Kampung People 3. Malah, dalam peran­cangannya, sudah berbaris beberapa drama serta telemovie yang hebat-hebat belaka tetapi masih perlu dirahsiakan.

“Alhamdulillah, saya mula diterima. Ramai yang mula nampak bakat itu. Masih jauh lagi perjalanan. Banyak ilmu yang perlu saya belajar. Berpuas hati jauh sekali. Belum selesa pun.

“Cuma saya masih Hun Haqeem yang sama. Tidak mahu asyik dibawa arus populariti. Setiap hari adalah peluang untuk kita belajar sesuatu, memperbaiki diri. Terima semuanya dengan hati terbuka,” kongsinya.

Mengakui lebih memilih untuk bersikap privasi, pelakon Angkara Cinta ini harus bijak membahagi dunianya. Dia lebih berhati-hati dalam berkongsi cerita peribadi. Dia perlu ruang dan masa sendiri.

“Tetapi saya rasa peminat sekarang lebih terbuka dan bijak. Mereka hormat privasi kita,” katanya menutup perbualan kami yang hampir satu jam lamanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya