Crazy Grizzly : Pasang taring baharu - Utusan Malaysia

Crazy Grizzly : Pasang taring baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA pertama kali mendengar Crazy Grizzly apabila lagu mereka, Saldadu mara ke peringkat separuh akhir Anugerah Lagu Indie (ALI) 2020. Saya cukup suka pada Saldadu kerana emosi kehilangan dalam lagu itu disampaikan lengkap dari semua sudut. Baik pada lirik, jeritan dan susunan, ia berjaya menjentik emosi.

Sesudah itu, saya tidak begitu memerhatikan perkembangan Juki (vokal bersih/gitar); Zarif (jerit); Yen (bass) dan Ayep (dram) sehinggalah sampai berita mereka melancarkan album baharu. Perkara pertama yang menarik perhatian saya ialah kerja seni albumnya.

Ia menampilkan corak seakan angkasa bersama rona warna agak gelap dan murung. Ungu mendominasi dan terdapat beberapa titik yang disambung seolah buruj. Kerja seni pada cakera padatnya nampak lebih murung, seakan kita sedang disedut masuk ke lohong hitam pada sensasi kelajuan yang menakutkan.

Dalam banyak-banyak soalan, tentang kerja seni ini yang saya tak sempat tanyakan pada Crazy Grizzly dalam program Borak Rondivu minggu lalu. Pada satu sisi, ia lebih baik kerana memberi kebebasan kepada diri saya untuk mentafsir seni abstrak tersebut.

Hijrah genre

Satu lagi hal menarik pada album tersebut ialah tajuknya, Tergiversate. Yang ini saya sempat tanya.

Perkataan tersebut agak asing sebenarnya, tidak ramai yang faham dan guna. Apabila Juki menjelaskan maksudnya, baru saya tahu apa yang ingin disampaikan dengan tajuk itu.

Kata Juki, tergiversate bermaksud bergerak meninggalkan sesuatu seperti kepercayaan atau prinsip. Ia menandakan hijrah kugiran Johor Bahru ini ke arah gaya muzik yang baharu.

Crazy Grizzly dikenali sebagai kugiran post-hardcore yang selesa membawakan lagu-lagu berbahasa Melayu selama ini. Dalam Tergiversate, mereka pasang taring baharu. Bukan sahaja semua lagu dinyanyikan dalam bahasa Inggeris, genre mereka juga berevolusi ke new wave metalcore.

Ia risiko yang bukan semua kugiran berani ambil. Langkah ini boleh mendatangkan peminat baharu, namun berpotensi juga kehilangan peminat lama.

Isi lirik
Memerhati dua lagu dari album itu yang video muziknya telah dilancarkan, Crazy Grizzly menolak untuk tampil biasa-biasa. Mereka menawarkan penerokaan bahasa yang menarik dalam lirik. Mengapa saya kata begitu?

Pertama, tema lirik untuk lagu Phoenix dan The Seven Sleepers ialah adaptasi. Mereka mengambil kisah-kisah legenda lalu dijadikan lirik lagu. Untuk Phoenix, ia tentang mitos burung yang bangkit daripada kematian. The Seven Sleepers pula adaptasi kisah tujuh pemuda yang ditidurkan selama ratusan tahun.

Melalui dua lirik ini, anda dapat belajar sesuatu dan meneroka kisah-kisah legenda ini dari perspektif Crazy Grizzly. Liriknya tidak kosong, sebaliknya berisi inspirasi dan taakulan.

Kedua, lirik mereka seakan lirik lagu rap. Ia diselit dengan kata nama khas yang jarang dapat kita lihat dalam lirik biasa. Dalam The Seven Sleepers, selain The Seven Sleepers sendiri, mereka juga menyebut tentang Decius. Siapa Decius? Itu yang akan bermain dalam fikiran ketika membacanya. Dalam Phoenix, ada disebut tentang Neverland.

Kata nama nama khas bermakna rujukannya khusus. Ia tidak terbuka kepada tafsiran-tafsiran luas. Kita boleh cari apa rujukannya dan terus mendapat jawapan.

Namun, liriknya masih terlalu misteri dan sukar ditelak terus. Boleh kata, sukar untuk kita kaitkan dengan pengalaman sendiri apabila membacanya. Itu normal kerana lirik dihasilkan dengan kekangan. Suku kata perlu disesuaikan dengan melodi (walaupun bahagian jeritan agak bebas, ia tidak bebas sepenuhnya).

Beruang Gila yang menonjol
Tidak sukar untuk kita berjumpa kugiran metalcore sekarang. Kugiran tempatan pun sudah ada banyak, apatah lagi di luar negara. Namun, Crazy Grizzly menjual keunikan. Itu nilai yang boleh buatkan mereka menonjol.

Keunikan juga telah terbukti bernilai. Kugiran yang unik lebih mudah diingati. Jika Crazy Grizzly bijak menggunakan kelebihan ini, tempatnya dalam lapangan muzik independen negara lebih terjamin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya