KUALA LUMPUR: Khabar gembira buat para pencinta filem antarabangsa kerana Kedutaan Besar Mexico di Malaysia dengan kerjasama Jorge Marín Foundation, Universidad del Claustro de Sor Juana akan membuat tayangan perdana filem pendek animasi Cosmic Twins pada Isnin ini pukul 7 malam menerusi saluran akaun Facebook mereka.
Program ini turut dijalankan oleh Kedutaan-kedutaan Mexico di seluruh Asia Tenggara.
Menurut Duta Besar Mexico di Malaysia Edmundo Font, projek ini turut mewakili pelbagai budaya bangsa.
“Kitab suci Popol Vuh menghargai kebijaksanaan dan tradisi budaya Maya seperti Ramayana dan Mahabharata bagi agama Hindu yang dilukis secara artistik menerusi Wayang Kulit,” katanya pada sidang akhbar.
Filem pendek tersebut menceritakan tentang kisah saudara Hun dan VucubHunahpú, yang menggegarkan alam semesta dengan bermain bola.
Para raja dunia bawah tanah merasa kesal lalu mencabar mereka untuk bermain di gelanggang mereka yang terletak di bawah tanah, di mana pengakhirannya saudara-saudara tersebut dibunuh.
Cosmic Twins, sebuah filem pendek animasi yang protagonisnya diilhamkan oleh patung ciptaan artis Jorge Marín, yang merupakan projek menggabungkan muzik, sejarah dan kisah epik melalui instrumen terkini abad ke-21.
Pada bulan September, filem pendek animasi Cosmic Twins akan disertai dengan perkongsian dan bengkel origami di media sosial Kedutaan Mexico di Malaysia dan di saluran platform Diplomasi Budaya.
Elena Catalán, Pengarah Yayasan Jorge Marin, menegaskan bahawa tujuan projek ini adalah untuk membawa titik pertemuan antara masyarakat Mexico dan Asia Tenggara dengan menterjemahkannya ke dalam pelbagai bahasa di rantau ini sekaligus, menyedarkan masyarakat tentang kepentingan menyelamatkan bahasa dan budaya asli.
Jangan lepaskan peluang ini, bagi yang berminat untuk mengetahui dengan lanjut, anda boleh rujuk ke laman rasmi Facebook Kedutaan Mexico di Kuala Lumpur, https://www.facebook.com/EmbaMexMls/