"Cinta dan benci, itu lumrah" - Daiyan Trisha - Utusan Malaysia

“Cinta dan benci, itu lumrah” – Daiyan Trisha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERBUALAN kami bermula rancak. Walaupun tidak pernah bersua, gadis ini memang petah berbicara. Jelas dia mempunyai aura tersendiri, biarpun masih hijau namun ingat, sesiapa sahaja mampu menggegar dunia.

Daiyan Trisha, satu nama yang bagi saya cukup popular dalam media sosial. Terutama kalangan peminat lelaki. Tidak sah kalau ruangan komennya dipenuhi dengan janji-janji manis peminat lelaki yang mahu mencuba nasib.

Namun bagi penyanyi ini, dia bukan sejenis manusia lapar perhatian. Sementelah, dia hanya mahu berkongsi cerita dan rasa dengan peminatnya. Jika ada yang mengkritik kononnya dia mengada-ngada, lupakan kerana dia tidak kisah.

Diaju soalan, adakah dia selesa dengan komen serta ‘lamaran maya” peminat-peminatnya, Daiyan tergelak manja. Tiada istilah rimas, namun dia juga tidak mahu terlalu selesa. Segalanya perlu ada batas.

Apatah lagi, dia juga mengakui, sering kali menerima pesanan yang bukan-bukan. Itu mungkin lumrah. Sementelah bergelar selebriti media sosial, pasti ada sahaja kehadiran lelaki tak tahu malu.

“Setakat ini saya okay sahaja. Kalau nak kata selesa dengan peminat lelaki, sama sahaja. Ramai juga peminat perempuan yang komen. Mereka memang selalu respon kepada gambar atau video yang dimuat naik.

“Tak pernah pula saya rasa rimas. Tapi awas ya, kalau ada yang hantar gambar atau video bukan-bukan memang saya akan terus sekat. Jadi kalau setakat komen positif itu tidak membuatkan saya rimas pun.

“Tetapi ada batasnya lah. Lagipun peminat saya faham. Mereka baik-baik tau. Yang teruk itu yang suka ganggu dengan melampau,” kata penyanyi Cinta Suka Sayang Kamu ini.

Namun Daiyan juga pasti tidak terlepas daripada menjadi sasaran haters. Tidak mungkin dia hanya dicintai, pasti ada juga yang membenci. Malah, penyanyi dan juga pelakon ini juga sedar dengan kehadiran mereka.

“Saya kalau boleh memang tak mahu ambil tahu tentang haters. Kalau ada yang melampau, saya sekat akaun itu. Senang. Saya tak mahu dedahkan diri kepada negativiti. Itu boleh memberi kesan kepada kita.

“Jadi saya lebih mudah untuk memberi fokus kepada peminat yang ikhlas berbanding mereka yang hanya tahu mencari salah,” kata gadis cantik kelahiran Bangi, Selangor ini.

Kecil hati? Tidaklah.

Hanya lima bulan mengacara program hiburan, Muzik Muzik 36 (MM36), nama Daiyan tiba-tiba sahaja digugurkan dan digantikan dengan pengacara lain. Timbul persoalan, tidakkah dia berkecil hati dengan keputusan tersebut?

Perlahan dia mengambil nafas. Cuba menyusun ayat selari hati. Tidak ada istilah berkecil hati mahupun merajuk. Itu jawapan konkrit daripada mulut Daiyan. Nadanya juga yakin dan tiada resah.

“Saya tidak terasa atau kecil hati walaupun diberhentikan. Saya hormat keputusan produksi MM36. Malah sejujurnya, saya perlu berterima kasih kepada mereka kerana memberi peluang untuk mengacara program besar seperti itu.

“Walaupun hanya lima bulan, saya belajar banyak sangat perkara baharu dalam bidang pengacaraan. Saya juga berpeluang mengacara secara langsung di studio dan maya di rumah. Jadi semua itu memberi ilmu baharu.

“Sudah dipilih menjadi pengacara pun saya dah bangga. Insya-Allah, saya berharap agar selepas ini, lebih banyak peluang untuk bekerja dengan mereka. Best tau produksi MM36,” kongsinya.

Tidak terlepas daripada kritikan, nama Daiyan sebelum ini pernah juga disebut dalam ruangan pojok, Poklip apabila ada yang kurang gemar dengan pengacaraannya. Kononnya dia kaku dan kurang memberi.

Mengajukan pertanyaan itu, Daiyan tidak melatah. Jauh sekali melenting atau cuba mempertahan diri secara agresif. Dia menerima setiap kritikan asalkan untuk membina, bukan menjatuh dan menghina.

“Kalau yang melampau kritikan itu, saya belum dengar lagi. Tetapi mestilah ada sahaja yang tidak suka atau kurang gemar dengan cara saya mengacara. Itu perkara biasa bukan?

“Sama sahaja dalam bidang nyanyian ataupun lakonan, ada sahaja yang kritik. Tetapi saya tak boleh cakap diri sendiri bagus. Kritikan itu harus dijadikan sebagai sebab untuk kita buat lebih baik,” ujarnya.

“Ya, saya penat”

Baru sahaja Daiyan melancarkan rilisan baharu, Penat beberapa hari lepas. Ramai yang tertanya-tanya, penat bagaimana yang dimaksudkan gadis berusia 28 tahun ini? Penat dengan segala-galanya mungkin?

Tergelak dia mendengar namun jelas Daiyan, penat boleh ditafsirkan mengikut acuan fikiran masing-masing. Setiap kita mempunyai maksud ‘penat’ yang tersendiri. Berbeza daripada yang lainnya.

“Saya penat sebab putus cinta. Penat sebab duduk di rumah. Penat fikir, bila keadaan akan kembali normal. Penatlah semua itu. Penat yang penat. Saya tak tahu bagaimana Aliff yang huraikan itu.

“Cuma sekarang ini, saya yakin ramai antara kita yang penat. Semua orang terkesan emosi dan mental dengan pandemik ini. Saya juga tidak terkecuali. Jadi lagu ini untuk kita semua yang merasa penat walau berbeza makna,” luahnya.

Ditanya adakah dia selesa dengan pencapaiannya setakat ini, Daiyan tidak terus menjawab. Fikirannya berlayar memikirkan setiap satu episod suka duka yang pernah dilalui sepanjang lapan tahun bergelar anak seni.

Bukan anugerah yang di kejar, bukan populariti yang dia idamkan. Cukup sekadar karyanya diterima, didengari dan disukai oleh peminat seluruh dunia. Itu impian gadis berjiwa besar ini.

“Alhamdulillah, kalau hendak cakap selesa sangat pun tidak. Di kala pandemik ini, pergerakan seni kita terbatas. Namun, ada hikmahnya kita didatangkan dengan ujian ini. Satu cabaran besar bukan?

“Saya bukan seorang yang mengalah. Saya cuba menggunakan masa dan akal dengan sebaik mungkin. Saya gembira dengan apa yang dicapai dan dilakukan. Saya cuma doa mampu terbang lebih tinggi selepas ini” katanya.

Memasang impian untuk mencipta nama di persada antarabangsa, bagi saya itu bukan sesuatu yang mustahil. Daiyan mempunyai masa depan cerah. Baik dari segi nyanyian, lakonan mahupun pengacaraan.
Apa yang penting adalah usaha dan kredibiliti. Pandai membawa diri, ikhlas dalam memberi dan percaya, rezeki itu di tangan Ilahi.

“Impian saya besar. Tak mahu setakat di Malaysia sahaja. Kalau boleh sampai ke persada antarabangsa. Sebelum ini saya pernah merancang untuk melancarkan single di luar negara, namun pandemik membataskan rencana.

“Buat masa sekarang, saya buat yang terbaik dan semampunya. Harap lagu Penat diterima ramai. Begitu juga dengan lakonan dan pengacaraan. Mana tahu selepas ini saya boleh keliling dunia, memperdengarkan karya. Tidak mustahil bukan?” akhirinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya