KUALA LUMPUR: “Bidadari syurga saya pergi buat selamanya…”
Berita duka itu dikongsi pelakon dan usahawan, Shuib yang kehilangan isteri tercinta, Siti Sarah Raissuddin selepas penyanyi itu menghembuskan nafas terakhirnya pukul 5.13 pagi tadi.
Shuib memuat naik status berkenaan di Instagram miliknya.
“5.13 minit pagi, 9 Ogos 2021. Bidadari syurga saya pergi buat selamanya.
“Mohon sedekahkan Al Fatihah. Siti Sarah Raissuddin,” kongsinya.
Bintang seni itu menghembuskan nafas terakhirnya tepat pukul 5.13 pagi tadi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).
“Terima kasih untuk kasih sayang anda semua” – Shuib
Berita duka itu juga telah disampaikan puhak pengurusan penyanyi tersebut, Indigital Music.
“Dengan berat hati dan berdukacita, kami ingin memaklumkan bahawasanya Siti Sarah Raissuddin telah meninggal dunia pukul 5.13 pagi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).
“Terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus memberikan doa serta sokongan kepadanya sejak dimasukkan ke hospital beberapa hari yang lalu.
“Sebarang maklumat lanjut akan disalurkan dari semasa ke semasa. Al-Fatihah,” kata kenyataan itu.
Siti Sarah meninggal dunia selepas beberapa hari bertarung nyawa melawan jangkitan Covid-19.
Terdahulu, penyanyi lagu malar segar, Kesetiaan itu juga terpaksa ditidurkan untuk proses pembedahan melahirkan anak dalam kandungan yang berusia tujuh bulan.
Pasangan bahagia ini mendirikan rumah tangga pada 26 November 2011 dan dikurniakan empat cahaya mata.