KUALA LUMPUR : Pelakon berbakat besar, Noorkhiriah Ahmad Shapie, 43, tidak menolak bahawa melakukan perubahan ke arah kebaikan memang mudah, namun istiqomah biasanya menjadi satu perkara yang sangat berat untuk dilakukan oleh seseorang itu.
Menerusi satu perkongsian dalam Instagram, Noorkhiriah mengaku dirinya adakala mengalami kesukaran istiqomah terutama dalam usaha mengamalkan membaca Al-Quran.
“Saya amalkan mana yang mampu. Selepas Subuh, saya baca surah Al-Kahfi ayat 1 hingga 10. Sebab kadang-kadang, waktu subuh ini mengantuk, maka itu yang saya mampu. Kalau rasa macam segar biji mata, saya sambung baca surah Sajadah.
“Selepas Zohor, Ar-Rahman, Asar Al-Waqiah, Maghrib surah Yassin, Isyak surah Al-Mulk. Kalau rajin, saya saya ulang semula surah Al-Waqiah. Itu sajalah yang saya amalkan. Tapi kadang-kadang ke laut juga.
“Ada juga hari yang saya bertanduk. Kadang tak baca. Berubah itu mudah, istiqomah itu sangat berat,”katanya dalam perkongsian tips di Instagram yang dimuat naik hari ini.
Menurut Noorkhiriah, itu adalah antara caranya untuk memastikan diri tidak terus meninggalkan Al-Quran dan niat itu dikongsikan kepada pengikut dan peminat yang mungkin mahu mencuba melakukan perubahan yang baik.
“Kalau anda nak mengamalkan surah yang anda tahu pun tak apa, asalkan kita jangan tinggalkan Al-Quran. Kalau tahu surah Al-Ikhlas, bacalah ulang kali. Allah Maha Baik. Lepas itu, malam sebelum tidur, lazimkan baca Al-Mulk.
“Tak tahu baca, pasang kat telefon pintar, lama-lama dengar mesti akan dapat baca. Surah Al-Mulk adalah surah yang membantu kita dalam kubur. Itu yang saya tahu. Maaf kalau salah ya.
“Semoga kita kekal istiqomah dan doa jangan putus. Doa adalah senjata orang mukmin,”katanya.
Dalam pada itu, menurut pelakon yang popular dengan drama Nur ini, dia berharap perkongsian yang diberikan itu dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya sebagai sesama suadara Islam.
“Mohon jangan dipuji usaha saya ini. Saya takut. Balikkan semua kepada Allah SWT. Amin…”katanya.