PETALING JAYA: Pelakon dan usahawan terkenal, Mawar Rashid menitipkan rasa syukur kehadrat Ilahi dan berasa bangga buat suami tercintanya, Raf Yaakob kerana telah mengikuti sesi agama selama tiga hari.
Menurut pelakon drama popular Tundukkan Playboy itu, dia turut meluahkan rasa terharu apabila suaminya keluar mengikuti sesi keagamaan demi mendekatkan lagi diri dengan ilmu agama Islam.
Menerusi entri Instagram, Mawar juga menzahirkan penghargaan buat pendakwah bebas terkenal, Ustaz Ebit Lew kerana menjemput suaminya turut serta dalam menuntut ilmu akhirat tersebut.
“Bagusnya abang, saya sangat bangga dengan abang. Hari ini rasa sebak, bersyukur serta terharu hubby Mawar keluar tiga hari menuntut ilmu agama Islam.
“Terima kasih ustaz Ebit Lew kerana menjemput suami Mawar ke tempat menuntut ilmu,” katanya di Instagram.
Mengulas lanjut, Mawar juga menzahirkan kesyukuran kerana suami tercintanya adalah antara insan yang terpilih untuk mendekati Allah dan Rasulullah.
“Ingat lagi abang cakap, ‘apa sahaja untuk menambah baikkan keluarga abang serta untuk pahala dunia akhirat, abang akan pergi Anje. Abang nak bimbing keluarga ke jalan Allah’.
“Syukur Alhamdulillah Ya Allah, kerana suami Mawar antara yang terpilih untuk lebih mendekatiMu dan Rasulullah,” ujarnya.