KUALA LUMPUR: Penyanyi, Anuar Zain menggambarkan keperibadian Allahyarham Siti Sarah Raissuddin seorang yang sangat baik hati, periang dan manja.
Katanya, pernah sewaktu bekerjasama dan membuat persembahan pentas di Kota Kinabalu, Sabah, Sarah mencuit hatinya dengan gurauan yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
“Manja dia bukan pada kata-kata saja tetapi juga daripada personaliti dia. Bila kenal dia, manja yang bukan dibuat-buat. Selalu gembira, kuat ketawa dan senantiasa akan ada terasa aura yang menyenangkan.
“Dia memang sudah lahir sebegitu, karakter yang baik dengan jiwa sangat-sangat baik. Paling penting dia suka buat orang lain ketawa.
“Pernah bergurau fasal masakan, emak siapa masak lagi sedap. Dia nak menang, dia cakap, kalau rebus batu pun lagi sedap,” kongsi Anuar.