Artis turut bersuara: Propaganda ribuan kematian? - Utusan Malaysia

Artis turut bersuara: Propaganda ribuan kematian?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEDAR atau tidak, kematian penyanyi dan selebriti usahawan popular, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin, Isnin lalu telah membuka lebih banyak mata umum akan betapa benar dan ngerinya wabak Covid-19.

Bukanlah sebelum ini tidak ada sebarang kesedaran mengenai wabak ini. Tetapi jika dilihat, banyak sahaja pihak dan individu dangkal yang masih menganggap perkara ini seakan tidak nyata.

Bahkan kerana ketidakpercayaan itu, ada pihak melabel semua ini sekadar satu propaganda dunia dengan tujuan menakut-nakutkan masyarakat di setiap pelosok negara.

Aneh. Saban hari, satu demi satu kematian di depan mata dan masihkah itu dianggap satu propaganda?

Berikut adalah pandangan beberapa selebriti dan artis tempatan mengenai isu ini.

Cuba ikhtiar, jangan pentingkan diri sendiri – Aiman Tino

Bagi penyanyi muda, Aiman Tino, dia berpendapat segelintir pihak yang mempunyai pemikiran bahawa virus itu tidak wujud mungkin belum terkena batang hidung sendiri serta ahli keluarga mereka.

Bukan mendoakan namun, dia berharap lebih ramai pihak segera bertindak dan terus melakukan pemeriksaan di klinik jika mengalami demam atau ketidakselesaan badan sebagai usaha mencegah sebelum terlambat.

“Virus ini bukan lagi atas diri masing-masing nak percaya ke tidak, penyakit ini betul, Covid-19 itu wujud. Jika mereka ini menggunakan media sosial, pasti tahu dengan apa yang sudah berlaku di sekeliling.

“Mungkin segelintir mereka ini tidak percaya selagi tidak kena dekat keluarga mereka sendiri. Tetapi, apa yang saya boleh cakap, lindungilah diri anda daripada virus tersebut.

“Jika sudah dijangkiti akan menjejaskan ramai orang serta membabitkan ahli keluarga kita. Virus ini tidak terlihat, tetapi ia ada di sekeliling kita. Kalau ada rasa nak demam, terus pergi jumpa doktor,” katanya.

Dalam pada itu, heboh juga dalam media sosial kini apabila ada segelintir pihak sedaya upaya menghasut orang lain supaya jangan mengambil vaksin. Ada juga anti-vaksin ini khuatir mati cepat apabila sudah disuntik vaksin tersebut.

Mengakui tidak dapat menghalang kata-kata mereka itu, penyanyi lagu Dendam Simpati ini menegaskan agar berikhtiarlah untuk melindungi diri daripada virus Covid-19.

“Kita kini dikira dalam keadaan darurat, cubalah ikhtiar dengan mengambil vaksin. Memang tidak dinafikan segelintir rakyat Malaysia ini ada yang anti-vaksin. Kita tidak boleh halang kerana itu terpulang kepada diri masing-masing.

“Sekarang ini dah darurat, mufti dan ahli ulama pun sudah menyarankan semua untuk mengambil vaksin sebagai ikhtiar melawan virus tersebut. Jangan buat kerja Tuhan. Jangan pentingkan diri sendiri, ikut peraturan yang ditetapkan kerajaan,”katanya.

Saya pernah kena dan tahu sakitnya – Marsha Milan

Merupakan antara artis dan selebriti yang pernah dijangkiti Covid-19, penyanyi, Marsha Milan, menegaskan ia bukan satu perkara yang boleh dianggap sebagai gurauan.

Kata Marsha, seharusnya setiap individu di negara ini membuka mata seluas-luasnya dan mengambil tanggungjawab untuk bersama-sama memainkan peranan melawan wabak ini.

“Sudah banyak realiti di depan mata. Ramai kalangan keluarga, sahabat dan kenalan kita mati kerana Covid-19,masihkah ada yang melihat ini sebagai satu gurauan?

“Saya sendiri pernah sakit kerana Covid -19 dan kehilangan orang tersayang kerananya pada Mei lalu. Apabila mendengar perkhabaran Allahyarham Siti Sarah juga telah pergi dijemput Ilahi kerana sebab yang sama, masihkah ini kita anggap propaganda?

“Saya tak tahu nak cakap macam mana kalau ada pihak yang tak nampak lagi apa yang Covid-19 boleh buat pada kita,”katanya.

Menurut Marsha, terlalu banyak berita kesedihan didengar kerana wabak ini dari sehari ke sehari, maka setiap orang perlu peka menjaga diri daripada aspek kesihatan dan keselamatan.

“Tak cuma diri sendiri. Kita kena juga peka dengan kesihatan dan keselamatan orang sekeliling. Orang yang tak pernah rasa sakitnya mungkin tidak akan faham tapi jangan lihat ia dengan sambil lewa.

“Adakala kita tidak boleh salahkan mereka juga kerana mungkin persekitaran membuatkan mereka ada pemikiran begitu.Tetapi itu bukan satu halangan untuk kita semua ambil tahu akan apa yang berlaku dan dapatkan maklumat yang sahih mengenai penularan wabak ini,”katanya.

Sayangilah keluarga di rumah, patuh SOP – Harris Annuar

Sama seperti Marsha, pelakon Harris Annuar juga antara selebriti yang menjadi mangsa Covid-19 sekitar awal tahun ini selepas beberapa hari pulang bercuti di Pulau Langkawi.

Kata pelakon Lelaki Kiriman Tuhan yang pernah bertugas sebagai petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ini, setiap individu wajib mendapatkan suntikan vaksin kerana setidak-tidaknya dapat membantu melewatkan tahap jangkitan wabak dalam tubuh jika dijangkiti.

“Sayangilah keluarga anda di rumah itu. Saban hari kita mendengar, membaca dan melihat di dada akhbar melaporkan penularan kes jangkitan semakin membimbangkan.

“Jadi, kepada orang di luar sana yang masih berdegil sama ada tidak mahu ambil vaksin dan patuh prosedur operasi standard, tolonglah jangan anggap penyakit itu enteng,” ujarnya.

Tambahnya, para barisan hadapan pernah berkongsi rintihan yang mana mereka merayu agar yang tidak percayakan Covid-19 diharapkan cepat sedar diri.

“Dari tahun lalu, petugas kita tidak berhenti menjalankan tanggungjawab, untuk siapa itu? Sukarkah kita untuk menghargai jasa dan pengorbanan mereka dengan menerima suntikan vaksin dan menjaga SOP?

“Semasa saya jadi sukarelawan, mereka juga meluahkan rasa sedih kerana mereka juga mahukan kehidupan macam kita. Dapat duduk di rumah luangkan waktu bersama keluarga tercinta.

“Kita semua ada peluang itu dengan ahli anggota keluarga, kenapa kita tidak boleh lakukan sama, lindung diri lindung semua,” ujarnya yang sudah lengkap dua dos vaksin AstraZeneca.

Mengakhiri perbualan, Harris berkata, Covid-19 ini juga sebenarnya menjentik akal kita untuk berbuat baik dan memuji ramai kenalan rakan artis berubah ke arah kebaikan.

“Kalau kita buka media sosial, ramai sekarang ini buat siaran langsung bercakap tentang agama. Saya doakan supaya kita semua dapat hidayah dan berubah kelak” jelasnya.

Kita boleh bermula dengan diri sendiri – Sharifah Amani

Sementara itu, pelakon serba boleh, Sharifah Amani mengingatkan orang ramai terus bersatu menjaga keselamatan agar jangkitan virus Covid-19 dapat dikurangkan.

Mesra disapa Nani, katanya, peranan dalam kalangan setiap individu harus dimainkan sepenuhnya lebih-lebih dalam keadaan negara kini yang berdepan kadar jangkitan tidak terkawal.

“Keadaan sekarang sangat menakutkan dan seperti tiada harapan. Tetapi, sebagai rakyat Malaysia, kita masih boleh lakukan peranan dan bersatu untuk menjaga keselamatan bersama. Buat apa yang boleh.

“Kita boleh bermula dengan diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Secara peribadi, saya dan keluarga akan pastikan kami bukan sahaja menjaga diri sendiri malah antara satu dengan lain. Kami tinggal berdekatan, tetapi jika tiada keperluan kami tidak berjumpa,” katanya.

Selain itu, pelakon filem Sepet ini turut menyarankan kepada orang ramai agar tidak mengabaikan pengambilan suntikan vaksin dan tindakan itu perlu disegerakan untuk melindungi diri dan orang sekeliling.

“Vaksin adalah amat penting. Sebagai orang Islam, kita tawakal dan percaya dengan bantuan daripada Allah SWT. Tetapi, Dia akan bantu hamba-Nya yang membantu diri mereka sendiri, InsyaAllah.

“Benar, jangkitan masih berlaku terhadap mereka yang sudah mengambil suntikan. Tetapi gejalanya adalah kurang dan tidak teruk. Ini terbukti secara saintifik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya