PERANAN anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sebagai benteng ketiga pertahanan negara cukup penting dalam menjamin kehidupan rakyat terus aman dan tenteram.
Ketika negara diancam pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lalu, anggota Rela menjadi sebahagian daripada wira yang melakukan tugasan di barisan hadapan dalam mengekang penularan wabak tersebut.
Malah tugasan anggota Rela juga mencabar dalam membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memastikan orang ramai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pemangku Pengarah Rela Kedah, Mohamad Aimran Hakim Abdul Alim berkata, lebih 1,000 anggota Rela yang aktif di negeri ini bertugas tugas-tugas PDRM dalam task force penguatkuasaan sejak PKP 1.0 bermula Mac 2020.
Menurutnya, antara tugasan yang tersebut ialah membantu PDRM dan ATM di sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negeri ini.
“Anggota Rela yang bertugas di SJR cukup kental dan cekal demi tugasan yang diamanahkan.
“Dalam menjalankan tugas mencabar itu, tidak semua orang yang sanggup berpanas dan berhujan bertugas di SJR.
“Walaupun elaun yang diterima tidak tinggi namun semangat berbakti kepada masyarakat tetap didahulukan,” katanya ketika ditemui di Pejabat Rela Daerah Yan, Kedah baru-baru ini.
Selain itu, anggota Rela juga membantu PDRM dan ATM dalam tugas rondaan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) di tempat-tempat awan.
Katanya, mereka juga memantau lorong-lorong tikus bagi memastikan tiada penduduk merentas daerah dan negeri pada PKP sekarang.
Tambahnya, anggota Rela juga diberi kepercayaan Kementerian Kesihatan Malaysia bertugas di pusat pemberian vaksin, pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 dan hospital-hospital.
“Kami juga membantu menghantar bakul makanan Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat termasuk bekas anggota Rela yang terkesan dengan PKP,” ujarnya.
Mohamad Aimran Hakim menambah, anggota Rela terlibat bertugas dalam tiga syif sehari.
“Saya kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh anggota Rela yang sanggup ke tempat bertugas pada sebelum solat Subuh dan pulang ke rumah sehingga lewat malam,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, kebanyakan anggota Rela itu juga telah menerima suntikan vaksin covid-19 bagi mencegah mereka dijangkiti wabak tersebut.
“Alhamdulillah setakat ini, tiada anggota Rela yang positif Covid-19 walaupun mereka bertugas di barisan hadapan,” katanya lagi.
Bangga jadi benteng ketiga pertahanan negara
Biarpun sejak lebih setahun lalu terpaksa bertugas membantu pasukan barisan hadapan termasuk membuat sekatan jalan raya (SJR) dan rondaan pematuhan SOP, anggota Rela di negeri jelapang padi ini tidak pernah mengeluh atau menyesal menyertai pasukan tersebut.
Ini diakui oleh anggota Rela, Zamzurina Ab. Rahman, 44, dari Kampung Perigi, Yan yang memberitahu bersedia melakukan tugasan yang diarahkan oleh pegawai Rela termasuk di SJR di daerah Yan.
Dia yang merupakan seorang suri rumah berbangga menjalankan tugas sebagai anggota Rela kerana berperanan sebagai benteng ketiga pertahanan negara termasuk dalam mengawal penularan Covid-19, selain menjadi ‘mata dan telinga’ kerajaan.
“Saya telah biasa bertugas di bawah terik matahari dan hujan, demi tugas saya tetap hadapi cabaran itu dengan cekal dan bersemangat,” katanya yang menyertai Rela sejak tahun 1999.
Seorang lagi anggota Rela, Siti Nur Khalijah Baharuddin, 19, dari Kampung Dulang, Yan berkata, dia baru menyertai Rela pada bulan ini kerana tidak mahu ketinggalan berbakti kepada masyarakat ketika pandemik Covid-19.
Menurutnya, walaupun tugasan anggota Rela pada masa ini agak mencabar namun tidak menjadi halangan untuk menyertainya.
“Saya bertugas di SJR di Yan sebanyak dua kali dalam seminggu, pada masa-masa lain saya mengajar al-Quran secara dalam talian,” kata bekas pelajar Maahad As Solehah di Simpang Empat, Alor Setar ini.